Artikel

Pembangunan Kampung Baru beri manfaat besar

PKB memaklumkan projek pembangunan semula ini dijangka mengambil masa 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat. KERAJAAN memberi jaminan bahawa Kampung Baru akan dibangunkan semula dan bukan digadaikan kepada pihak lain.
- Diterbit 4 Oktober 2019 4:31 AM MYT

SAYA mengikuti perkembangan isu Kampung Baru secara dekat dan tahu dengan terperinci polemik isu tersebut.

Oleh kerana saya pernah memperjuangkan isu ini sekitar tahun 2010 hingga 2013, sudah tentu isu Kampung Baru sangat dekat di hati dan mahu ia diselesaikan dengan cara yang pa­ling baik serta menguntungkan pemilik dan pewaris tanah kampung tersebut.

Semasa sesi Townhall Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dengan pemilik tanah Kampung Baru pada 21 September lalu, dapat dilihat kesungguhan, keikhlasan dan kejujuran beliau bagi membantu pemilik dan pewaris Kampung Baru untuk memajukan kampung warisan yang sudah berusia lebih satu abad itu.

Keberanian beliau bersemuka dan berhadapan dengan pemilik tanah dan memberi taklimat selain mendengar pandangan dan kritikan amat dihargai.

Saya bersetuju bahawa kepentingan Kampung Baru perlu dipulangkan kembali terhadap penduduk kampung serta orang Melayu.

Jika ada terma menyatakan pemilikan Kampung Baru bukan kepada pemilik atau pewarisnya atau penduduk tidak mendapat apa-apa manfaat sebagaimana berlaku di kampung-kampung Melayu yang lain sebelum ini, saya menjadi orang pertama yang akan lantang menolak tawaran kerajaan ini.

Melalui taklimat tersebut, pemilik tanah Kampung Baru telah ditawarkan empat pilihan sama ada mereka ingin mendapat pulangan tunai sepenuhnya, pulangan tunai dan aset yang dibangunkan nanti atau aset sepenuhnya dan pegangan saham dalam pembangunan semula nanti.

Empat tawaran ini sebenarnya amat menarik dan mampu memenuhi kriteria penduduk serta tidak ada apa yang akan merugikan pemilik kampung terbabit.

Setakat ini, saya dimaklumkan lebih 90 peratus pemilik tanah Kampung Baru telah menyatakan persetujuan atas tawaran-tawaran tersebut.

Ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan memajukan Kampung Baru dengan keuntungan sepenuhnya diberikan kepada pemilik.

Sudah tentu tawaran ini dibina dengan kepercayaan kerana setiap perjanjian itu mempunyai dokumen yang bernilai dan mempunyai hitam putih yang boleh diyakini.

Khalid juga menyatakan harga RM650-850 sekaki persegi yang ditawarkan itu adalah penilaian dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH).

Tawaran kerajaan adalah tertakluk kepada penilaian JPPH dalam sebarang aktiviti perolehan dan penawaran. Bahkan pihak menteri telah meletakkan harga yang pa­ling maksimum bagi membeli tanah daripada pemilik dan waris di Kampung Baru.

Difahamkan majoriti pemilik tanah mempunyai lot seluas 8,000 kaki persegi. Jadi jumlah nilai tanah mereka akan mencecah sehingga RM6 juta. Ini tidak termasuk nilai bangunan yang sedia ada di atas lot tanah tersebut.

Harga tersebut jauh lebih tinggi berbanding RM300 sekaki persegi yang pernah ditawarkan pada 2017 oleh kerajaan terdahulu.

Kerajaan telah memberi jaminan bahawa Kampung Baru akan dibangunkan semula dan bukan digadaikan kepada pihak lain. Pembangunan ini pula akan memberi pulangan tinggi kepada pemilik dan pewaris tanah. Dalam masa sama sekatan pegangan kepada orang Melayu akan terus dikekalkan.

Antara elemen pembangunan yang dijanjikan adalah 70 peratus pembangunan lot kediaman dan 30 peratus untuk lot komersial manakala 50 peratus daripada lot kediaman adalah untuk rumah mampu milik Residensi Wilayah dengan harga maksimum RM300,000. Ini bermaksud, lebih ramai orang Melayu akan kembali dan tinggal di Kampung Baru sehingga 160,000 orang iaitu 10 kali ganda berbanding jumlah penghuni sedia ada.

Jika kita melihat kepada perspektif yang jujur tanpa elemen politik, ia adalah pulangan yang berbaloi dalam perjuangan memartabatkan hak kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Kerajaan telah membentangkan perancangannya secara tuntas dan tanpa berselindung di sebalik apa-apa agenda melainkan untuk kepentingan rakyat.

Semoga segala perancangan pembangunan ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberikan manfaat yang besar kepada semua pihak khususnya anak jati Kampung Baru.

Penulis ialah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Titiwangsa

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas