Kematian satu ujian dan perpindahan

Kematian satu ujian dan perpindahan

MUFTI

Soalan: Assalamualaikum SS Datuk Seri Mufti. Benarkah kematian satu ujian dan juga satu perpindahan?

Jawapan: ALHAMDULILLAH, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, firman Allah SWT maksudnya; “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk: 2)

Cendekiawan Muslim, Mustafa al- Kik dalam bukunya Baina ‘Alamain: ‘Alam al-Madah wa ‘Alam al-Ruh berkata, kematian yang dialami oleh manusia sama ada kematian secara mendadak seperti serangan jantung, kemalangan dan sebagainya atau kematian biasa yang terjadi melalui proses penuaan secara perlahan-lahan, mati mengejut mahupun yang mati biasa itu, kesemuanya mengalami apa yang dinamakan sakarat al-maut, yakni hilangnya kesedaran yang diikuti oleh perpisahan ruh daripada jasad.

Kematian dalam Islam bukanlah kemusnahan untuk selama-lamanya seperti yang dipercayai oleh orang-orang yang sesat dan jahil. Kematian adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, dari satu peringkat ke peringkat lain, dan dari satu persinggahan ke persinggahan seterusnya.

Kata Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah, maksudnya: “Kamu semua dicipta untuk kehidupan yang lebih abadi. Kamu sebenarnya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 5/287)

Abu al-Atahiyyah, seorang penyair terkenal berkata: Bukanlah kematian itu kecuali adalah sebuah perjalanan. Dari tempat musnah ke tempat yang abadi selama-lamanya.

Jenazah yang berada di dalam kuburnya hidup secara alam barzakh. Menerima nikmat ataupun merasai seksaan sebagai permulaan kepada kehidupan akhirat yang abadi sama ada seseorang itu diberi balasan baik, ataupun dikenakan seksaan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/273)

Justeru marilah sama-sama kita menginsafi bahawa hakikat kematian pasti ditempuh oleh semua yang hidup. Namun yang terlebih penting, hendaklah kita berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam husnul khatimah dan kita mengisi kehidupan di dunia dengan acara ibadat secara berterusan. Amin.

CATEGORIES