KRT Kampung Kasipillay ungguli ROLPOP5

KRT Kampung Kasipillay ungguli ROLPOP5

Oleh AZLAN ZAMBRY
azlanwilayahku@gmail.com
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kasipillay, Segambut di sini menggungguli kategori Komuniti Setempat atau Organisasi Berasaskan Komuniti di dalam program River Of Life (ROL) Public Outreach Program (POP) 5 setelah mengenepikan empat pencabarnya.

Pengerusinya, Lim Ching Wah berkata, kemenangan itu disebabkan sebahagian aktiviti yang dijalankan bersama komuniti adalah menanam pokok pisang di tebing sungai.

“Kami mempunyai kira-kira 80 batang pokok pisang dan itu sahaja sudah mencukupi untuk kami menjaga kebersihan di kawasan tersebut.

“Selain itu, kami juga mendapat bantuan daripada pihak Maybank dan bekerjasama dengan komuniti setempat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah ROLPOP5 di Lebuh Pasar Besar di sini baru-baru ini.

Kata Ching Wah, mesej yang di­sampaikan kepada komuniti setempat adalah mereka perlu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Sekiranya kami melihat pencemaran di sungai, maka kami akan menghubungi pihak berkuasa dan bekerjasama untuk menjadikan kawasan sekitar bersih dan bebas dari­pada pencemaran.

“Pihak kerajaan mesti meneruskan program ROLPOP kerana ia banyak meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan sungai dan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dalam ucapannya berkata, pihak kerajaan telah merangka pelbagai projek bersama masyarakat sejak tahun pertama pelaksanaan ROLPOP.

“Saya merasakan program ROLPOP 5 ini perlu diperhebatkan lagi untuk memupuk kerjasama serta memperkasakan tingkah laku kumpulan sasar yang terdiri daripada orang awam, institusi pen­didikan, komuniti tempatan, premis makanan.

“Selain itu, penjaja, peniaga pasar basah, bengkel, industri, korporat dan pemaju juga perlu bekerjasama untuk mengurangkan pencemaran dan tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 31 aktivis tempatan diiktiraf atas sumbangan mereka dalam memulihara Sungai Klang menerusi Program Pendekatan Awam Fasa 5 ROL.

Turut menerima anugerah itu ialah wartawan Wilayahku, Nazwin Izan Ahmad Nazri yang memenangi kategori media.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Roshidah Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir. Nor Hisham Mohd. Ghazali.

CATEGORIES
TAGS