Berita

Peralihan kepada cukai petak Januari 2020

KHALID (kiri) menunjukkan poster pelaksanaan cukai petak yang akan dilaksanakan Januari 2020.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:08 AM MYT

KUALA LUMPUR – Cukai petak yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2020 tidak akan membebankan warga kota terutamanya golongan B40.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, cukai yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) itu mengambil kira kepentingan rakyat serta hasrat ke­rajaan untuk melaksanakan peralihan cukai tanah kepada cukai petak tanpa meningkatkan kos sara hidup ke atas warga kota.

“Bagi pemilik petak kediaman strata dari skim Kediaman Kos Rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) terutamanya golongan B40, akan menikmati kadar tetap (flat-rate) cukai petak tanpa mengira saiz keluasan petak iaitu RM15 setahun untuk pegangan hak milik pajakan (leasehold).

“Bagi pegangan hak milik selama-lamanya (freehold) pula dikenakan sebanyak RM20 setahun “ katanya ketika berucap pada Majlis ‘Soft Launch’ Pelaksanaan Cukai Petak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Rumah Persekutuan di sini baru-baru ini.

Khalid berkata, berdasarkan rekod PPTGWP, terdapat lebih 70 peratus kediaman jenis pangsapuri mampu milik yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 1,030 kaki persegi atau 96 meter persegi rata-ratanya dimiliki golongan M40.

“Kadar cukai petak untuk kediaman strata jenis ini telah digubal bagi membolehkan pengenaan cukai petak pada kadar minimum iaitu RM20 setahun bagi pegangan hak milik pajakan (leasehold).

“Bagi pegangan hak milik selama-lamanya (freehold) dikenakan sebanyak RM25 setahun dapat dinikmati oleh pemilik-pemilik kediaman strata golongan M40,’’ katanya.

Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas