Selebriti

Konsert Khai Bahar di Istana Budaya, Mac ini

KHAI bakal menghiburkan peminat di Istana Budaya.
- Diterbit 22 Januari 2020 12:32 PM MYT

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Khai Bahar dipilih pihak Istana Budaya untuk menjayakan persembahan pentas yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac akan datang.

Penyanyi kelahiran Kangar, Perlis ini dipilih kerana potensinya sebagai pelapis kepada penyanyi lelaki terbaik sedia ada.

Menurut pemenang Artis Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 ini, dia berbesar hati dengan pemilihan tersebut.

“Ini bakal menjadi buah tangan sulung saya bagi tahun 2020 dan sudah pasti ia merupakan pembuka tirai yang paling indah,” ujar Khai.

Konsert di bawah penganjuran produksi Ogy Ventures milik pengarah dan pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud itu bakal menghimpunkan 20 buah lagu yang terdiri daripada lagu-lagu Khai Bahar dan medley.

Bertemakan Konsert Khai Bahar : Dari Smule Ke Pentas Dunia, penyanyi yang mula dikenali menerusi nyanyiannya di aplikasi Smule ini bakal menghiburkan penonton selama dua jam.

Menariknya, pada konsert tersebut turut diadakan peraduan merakam video paling kreatif SAYA SAYANG KHAI KERANA… tidak melebihi 15 saat yang mana tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Mac ini.

Pemenang akan dipanggil berada di atas pentas dan akan dihiburkan oleh Khai.

Tiket konsert boleh didapati di www.airasiaredtix.com serendah RM86 sementara mereka yang membeli tiket berharga RM556 berpeluang untuk berjumpa dan mengabdikan kenangan bersama Khai. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas