Berita

Bank Islam unjur peningkatan 15 peratus kiriman wang ke luar negara

- Diterbit 21 Januari 2020 5:43 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) mengunjurkan peningkatan jumlah kiriman wang ke luar negara sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus selepas melancarkan perkhidmatan SWIFT Global Payment Innovation (GPI) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, melalui khidmat pindahan bayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan telus itu, ia bakal melengkapkan sasaran pendapatan berasaskan fi Bank Islam dalam tempoh 12 bulan ini.

“Bank Islam mencatatkan satu lagi pencapaian penting apabila menjadi salah sebuah institusi perbankan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan SWIFT GPI.

”Bank Islam juga mampu menghentikan pembayaran yang dibuat secara serta-merta sekiranya terdapat kes penipuan atau kesilapan di sebarang peringkat urus niaga dalam rangkaian GPI,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

”Mereka juga mampu mengawasi pembayaran rentas sempadan yang disempurnakan pada masa sebenar selain dimaklumkan terus kos dan caj yang terlibat bagi transaksi berkenaan,” jelasnya.

Perkhidmatan SWIFT GPI kini disediakan melalui 144 cawangan Bank Islam di seluruh negara.

SWIFT adalah sebuah koperatif global dan penyedia perkhidmatan pesanan khidmat kewangan yang terulung di dunia. Ia memudahkan aliran kewangan global dan tempatan serta menyokong perdagangan di seluruh dunia.

Platform pesanan, produk dan perkhidmatan SWIFT menghubungkan lebih 11,000 organisasi perbankan dan sekuriti, infrastruktur pasaran dan pelanggan korporat di lebih 200 negara dan wilayah.

Sejak dimulakan pada tahun 2017, SWIFT GPI membolehkan organisasi-organisasi korporat untuk menyalurkan dan menjejak pembayaran merentasi pelbagai bank secara terus daripada sistem perbendaharaan dan pembayaran mereka.

Perkhidmatan ini telah dimanfaatkan oleh 3,550 institusi kewangan di seluruh dunia, termasuk kesemua 60 kumpulan perbankan utama dalam SWIFT. Dijangkakan semua institusi dalam rangkaian SWIFT akan menggunakan GPI menjelang akhir tahun 2020. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas