Berita

Tun Mahathir, Ismail Haniyeh bertemu di Putrajaya bincang isu Palestin

TUN MAHATHIR bersalaman dengan Ismael Haniyeh semasa menerima kunjungan delegasi pemimpin Hamas itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
- Diterbit 23 Januari 2020 3:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat daripada pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan delegasinya di pejabat beliau di Perdana Putra di sini semalam.

Tun Mahathir dalam catatan di laman Facebook dan Twitter rasminya memaklumkan, dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu, kedua-dua mereka membincangkan perkembangan terkini dan nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Menurut catatan itu, pemimpin Hamas turut merakamkan ucapan terima kasih atas usaha Tun Mahathir membawa idea segar mengenai dunia Islam menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Disember lepas.

“Ismail juga meminta maaf kerana tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu,” katanya, bagaimanapun, Wakil Hamas hadir pada sidang kemuncak itu.

Dalam pertemuan itu, Ismail turut menyatakan penghargaan atas usaha dan sokongan berterusan Tun Mahathir kepada perjuangan rakyat Palestin.

Ismail tiba di Malaysia Selasa lalu dalam rangka lawatannya ke beberapa negara Islam antaranya Iran, Oman, Turki dan Qatar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas