Biz

KOGUNA ceburi francais, tawarkan peluang niaga dan kerjaya

TONY Lim Chin Hau (empat dari kiri) bersama Shafie Muda (dua dari kanan) hadir ke sesi pemeteraian kerjasama Boat Noodle dengan KOGUNA untuk luaskan perniagaan francais Boat Noodle di lokasi strategik.
- Diterbit 10 Jun 2022 4:50 AM MYT

KOPERASI Pekerja FELDA Malaysia Berhad (KOGUNA) kini bergerak proaktif menceburi bidang penyediaan makanan dan minuman (F&B) sebagai inisiatif membuka peluang perniagaan serta kerjaya bagi masyarakat.

Pengerusinya, Safie Muda berkata, langkah menerokai perniagaan francais rangkaian restoran, Boat Noodle itu diyakini memberi pulangan positif untuk KOGUNA berikutan sambutan hangat para pelanggan terhadap menu makanan disediakan.

Beliau berkata, cawangan pertama francais restoran diuruskan oleh KOGUNA di Bandar Putra Mahkota, Bangi mencatat nilai jualan memberangsangkan Mei lalu yang melebihi RM25,000 menunjukkan prestasi kondusif harus diteroka.

“Kami turut merancang luaskan cawangan restoran francais F&B, Boat Noodle jenama Malaysia, ke beberapa lagi lokasi strategik antaranya Bandar Penawar, Johor selain di Bera, Pahang pada masa hadapan.

“KOGUNA juga yakin pelaburan RM400,000 sebuah francais diperolehi dua hingga tiga tahun beroperasi seterusnya meraih untung selain membuka peluang kerjaya bagi anak muda tempatan,” katanya pada perasmian pembukaan Restoran Boat Noodle, Bandar Putra Mahkota, Bangi, semalam.

Hadir sama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Boat Noodle, Tony Lim Chin Hau dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi (SKM) cawangan Kuala Lumpur, Jaafar Ahmad.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi Boat Noodle, Chin Hau berkata, peniagaan F&B diasasnya menyajikan menu makanan berinspirasikan Thailand itu, meraih Lesen Perniagaan Francais pada 2021.

Justeru katanya, mereka mempelawa pihak berminat meluaskan rangkaian francaisnya dengan kriteria syarat yang mudah sambil berpeluang menikmati keuntungan berbaloi dalam tempoh yang berpanjangan.

“Hasil perluasan konsep perniagaan secara francais yang kami tawarkan, Boat Noodle komited sasaran bagi mengoperasikan 150 cawangan di dalam tempoh lima tahun akan datang mampu direalisasikan.

“Jadi, dengan pasaran ekonomi kini dibuka, kami ingin bekerjasama dengan lebih ramai rakyat Malaysia, yang bercita-cita memiliki perniagaan sendiri, terutamanya kawasan bandar kecil mampu direalisasikan melalui tawaran perniagaan strategik ini,” jelasnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas