Selebriti

“Sebenarnya harga rumah lebih RM5 juta”, Kak KM tidak mahu berlagak malah bersyukur

- Diterbit 9 Jun 2022 3:57 AM MYT

MENJADI bualan ramai apabila, usahawan yang sering mencetuskan kontroversi, Liana Rosli atau Kak KM tampil berkongsi momen indah berjaya miliki kediaman berharga lebih RM5 juta di Instagram, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak kepada pelakon Normah Damanhuri itu bersyukur kerana ia antara hasil titik peluh perniagaan produk yang diusahakan.

“Sebenarnya tanah rumah ini sangat besar, 10,000 kaki persegi. Sebab jika beli rumah baru mungkin susah nak dapat (yang besar) macam tu. Ia rumah lama. Boleh je kalau nak duduk balik, tinggal lagi kalau boleh saya mahu ia semua baru.

“Jadi kita nak runtuhkan, ‘naik’ balik yang baru. Lokasinya di Ampang. Sebenarnya harga lebih (RM5 Juta), nanti dikatakan berlagak pula. Baru cakap RM5 Juta orang dah marah sangat, kata kita nak menunjuk-nunjuk.

“Padahal kita bukan nak menunjuk, kalau tak boleh tengok tutuplah Instagram tu, betul tak?,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Minggu Usahawan Negara 2022, Festival Fesyen & Kecantikan, semalam.

Turut dilancarkan ialau Starvendors Kedah Raya Fest 2022 di Malaysia Grand Bazaar @ Bukit Bintang City Center, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai proses pengubahusaian bagi membangunkan kediaman yang serba baru, Kak KM menjelaskan ia mungkin mengambil masa sekitar setahun.

“Kita bagi masa dalam setahun sebab nak runtuhkan semua nak naikkan balik. Sebab kita ambil keputusan untuk ubah suai kerana anak bertambah, kalau boleh biarlah bilik seorang satu. Untuk mak dan mertua, untuk bilik sendiri juga.

“Malah kalau boleh nak adakan surau. Nak lebihkan benda itu, nak ada surau,” katanya yang turut mendedahkan memiliki kediaman berkenaan sebagai impian yang tercapai.

Rumah banglo yang bakal dibina itu merupakan kediaman ketujuh yang dimiliki Kak KM – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas