Berita

Khidmat Vaksinasi Prihatin sedia lebih 2,000 dos sehari, penerima boleh walk-in

PEMBERIAN vaksin ditingkatkan kepada 2,000 dos sehari bagi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok Kuala Lumpur.
- Diterbit 7 Ogos 2021 12:00 PM MYT

WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur dilihat mampu mencapai sasaran 80 peratus imunisasi kelompok untuk golongan dewasa menjelang Oktober ini apabila inisiatif Khidmat Vaksinasi Prihatin meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada lebih 2,000 dos sehari.

Pengurus Khidmat Vaksinasi Prihatin, Isabella Pek berkata, pihaknya telah melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan dengan lancar.

“Program vaksinasi di Rumah Prihatin bermula 15 Julai lalu adalah 600 dos sehari dan bermula 2 Ogos, ia meningkat sehingga lebih 2,000 dos sehari.

“Ekoran itu, kami menggandakan bilangan sukarelawan dan pegawai perubatan serta keperluan berkaitan logistik yang lain untuk mempercepatkan usaha vaksinasi warga kota,” katanya kepada Wilayahku pada Khamis.

Isabella berkata, penambahbaikan itu bermula dari peringkat pendaftaran sehingga selesai yang mana urusan bagi seorang penerima adalah kurang daripada satu jam.

ISABELLA

Mengulas lanjut, dia memberitahu, untuk melicinkan lagi operasi vaksin, pihaknya telah mengatur laluan keluar dan masuk dengan menambah papan tanda untuk kemudahan penerima.

“Kami turut menyediakan penunjuk arah untuk membantu orang ramai kerana mereka yang datang untuk mendapatkan vaksin mempunyai perasaan gementar dan sukarelawan ini akan memantau keadaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kaedah yang diguna pakai pihaknya dalam menguruskan penerima vaksin adalah melalui temu janji aplikasi MySejahtera dan juga sistem daftar terus (walk-in) di kaunter.

“Kami harus mendapatkan pendaftaran orang yang mahu mendapatkan vaksin dan perlu memperoleh senarai nama seminggu sebelum tarikh pemberian vaksin.

“Senarai itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKNWPKL) dan selepas itu mereka akan memuat naik ke aplikasi MySejahtera dan penerima akan menerima temujanji menerusi aplikasi tersebut.

“Sistem daftar terus (walk-in) adalah kaedah yang paling baik untuk memberikan vaksin kerana mereka tidak perlu menunggu lama selain dapat mempercepatkan lagi sasaran imuniti berkelompok,” katanya.

Dalam pada itu, Isabella menyeru kepada semua pihak terutama dan pemimpin tempatan untuk mendaftar seramai mungkin warga kota untuk mendapatkan vaksin.

“Walaupun ketika ini kuota vaksin yang diperoleh lebih dari 2,000 dos sehari, namun setakat ini, paling tinggi dos yang dapat diberikan adalah sebanyak 1,566 pada 3 Ogos lalu.

“Semua pihak perlu berganding bahu terutama Ahli Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) untuk menarik lebih ramai warga kota untuk menerima vaksin agar sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas