Penyewa PPR/PA nikmati  diskaun 50 peratus
DBKL memberikan diskaun sebanyak 50 peratus kepada penyewa-penyewa premis miliknya yang merupakan kesinambungan IWC 1.0.

Penyewa PPR/PA nikmati diskaun 50 peratus

SELARI dengan konsep Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin yang diperkenalkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan diskaun sebanyak 50 peratus kepada penyewa-penyewa premis miliknya.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Ismadi Sakirin berkata, tawaran diskaun tersebut merupakan kesinambungan daripada Inisiatif Wilayah Cakna 1.0 yang diberikan pada tahun 2020.

“Ia sedikit berbeza berbanding IWC 1.0 kerana pada tahun ini DBKL memberikan diskaun sebanyak 50 peratus untuk semua penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang melibatkan kira-kira 38,124 akaun bernilai kira-kira RM 16.58 juta.

“Selain daripada penyewa PPR, diskaun ini tidak tertakluk kepada unit-unit kedai dan gerai di PA/PPR serta unit-unit PPR dan PA yang disewa oleh pihak pemaju, institusi, dan badan kerajaan (NGO),” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

ISMADI

Menurut Ismadi, diskaun tersebut akan diberi bermula Jun 2021 sehingga Disember 2021 sahaja dan akan diselaraskan secara terus atau automatik ke dalam akaun penyewa tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

“Penyewa tidak perlu membawa bil baru (selepas diskaun) untuk membuat bayaran sewa sebaliknya kaunter bayaran boleh mengguna pakai bil sedia ada dan boleh menerima bayaran selepas diskaun.

Kata Ismadi lagi, penyewa tidak boleh menuntut bayaran diskaun sekiranya telah membuat bayaran bulanan dari Jun hingga Disember dan ia tidak akan menjadi bayaran utiliti.

“Diskaun sewa 50 peratus yang diberikan akan menjadi lebihan dalam akaun dan dijadikan bayaran untuk bulan seterusnya.

“Lebihan bayaran sewa itu juga tidak boleh digunakan untuk bayaran tunggakan air sebaliknya ia akan dijadikan bayaran sewa untuk bulan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, diskaun itu masih akan diberikan sekiranya penyewa membuat bayaran penuh setahun dan ia akan menjadi baki lebihan dalam akaun penyewa untuk bulan seterusnya.

Kata Ismadi lagi, pihaknya juga memudahkan urusan penyewa untuk membuat pembayaran ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pembayaran boleh dibuat secara online melalui aplikasi Jompay atau di Kaunter Hasil Menara DBKL 1 dan 3 dari hari Isnin hingga Jumaat dan waktu urusan dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan orang ramai boleh merujuk laman rasmi Facebook DBKL bagi mendapatkan sebarang info terkini.

“Penyewa perlu bawa bersama salinan bil (sewaan) lama bagi tujuan rujukan kakitangan di kaunter,” katanya.

Katanya, sekiranya penyewa mahu membuat semakan tunggakan sewa dalam tempoh PKP ini, mereka boleh menyemak melalui Whatsapp rasmi sewaan di talian 019-326 5332, Isnin –Jumaat, 8.00 Pagi – 4.00 Petang.

Ujarnya, bil sewaan yang dikeluarkan oleh DBKL adalah Bil Tahunan yang dikeluarkan sekali setahun pada bulan Januari dan akan dihantar melalui peti surat unit penyewa.

“Selain itu, bil tunggakan sebanyak empat kali setahun iaitu pada bulan Januari, April, Julai dan Oktober.

“Notis peringatan juga dikeluarkan sebanyak empat kali setahun iaitu pada Mac, Mei, Ogos dan November,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES