Berita

PriVo: Keluarga daif tercicir dikesan

SUKARELAWAN di bawah Program Jejak Prihatin yang turun padang menyerahkan bantuan kepada penerima B40 turut mengesan keluarga miskin tegar yang belum disenaraikan agensi kerajaan.
- Diterbit 7 Ogos 2021 12:00 PM MYT

PROGRAM Jejak Prihatin di bawah RumahPrihatin@GrandSeasons telah berjaya mengesan banyak keluarga miskin tegar sekitar ibu kota yang terkesan ekoran COVID-19.

Pengarah Eksekutif RumahPrihatin@GrandSeasons, Datuk Seri Dr Junaidy Abu Bakar  berkata, sejak ia ditubuhkan, pasukan Jejak Prihatin telah menziarahi hampir 3,800 buah rumah di sekitar Kuala Lumpur bagi melihat keadaan kehidupan warga Wilayah Persekutuan yang terjejas.

“Sejak pasukan ini digerakkan, kami banyak menemui kaum Cina, Melayu, India, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan keluarga yang menderita sakit kritikal.

“Kita buat lawatan dan mengambil data-data keluarga tersebut dengan lebih terperinci dan sekiranya mempunyai apa-apa masalah, mereka boleh berhubung dengan PriVo (Sukarelawan Prihatin),” katanya kepada Wilayahku selepas program Jejak Prihatin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam program tersebut, Junaidy turut menghulurkan bantuan bakul makanan daripada Food Bank Rumah Prihatin serta mengagihkan Jalur Gemilang sumbangan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir Ahmad dan wakil Jabatan Penerangan.

JUNAIDY

Menurut Junaidy, sepanjang program ini berlangsung, pihaknya memperoleh banyak maklumat keluarga miskin tegar termasuk yang luar daripada senarai rasmi kerajaan.

“Sebenarnya kita ada kira-kira 10,000 senarai nama daripada kategori B40 iaitu miskin dan miskin tegar dan untuk fasa pertama, kita telah pergi menjejaki dan menghulurkan bantuan kepada keluar-keluarga tersebut.

“Sekiranya ada nama yang terkeluar daripada senarai, kita mengalu-alukan dan sekiranya mereka ini adalah OKU, berpenyakit kronik, warga emas yang memerlukan bantuan kita akan memberikan bantuan walaupun nama mereka tidak tersenarai dalam penerima bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidy melahirkan harapan agar warga PPR dapat berganding bahu untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan walaupun terpaksa menyambut di dalam Fasa Pertama Program Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Perkasa, Mohd Murad Mat Noor berkata pihaknya menyambut baik penganjuran program Jejak Prihatin untuk menjejaki golongan miskin tegar di PPR.

“Kami amat berpuas hati dengan program ini kerana ia turut memberikan bantuan kepada penduduk yang terkesan dengan COVID-19 kerana penduduk disini terdiri daripada warga emas, golongan OKU dan tidak ketinggalan mereka yang menjadi miskin sekelip mata kerana diberhentikan kerja.

“Sebelum ini kita akan telah menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 30 unit rumah dan hari terdapat tambahan lagi dan saya mengharapkan bantuan ini dapat dipanjangkan lagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas