Berita

Keunikan Pulau Borneo pacu pertumbuhan ekonomi

LABUAN memiliki pelbagai tarikan tersendiri
- Diterbit 5 Januari 2024 12:00 PM MYT

LABUAN yang sinonim dengan gelaran Pulau Borneo memiliki pelbagai keunikan dan tarikan pelancongan yang tersendiri sekali gus menyumbang kepada ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail, sektor pelancongan merupakan salah satu teras pembangunan di Labuan dan ia menjadi satu keutamaan pihaknya sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Industri pelancongan di Labuan merupakan salah satu teras pembangunan yang kita tekankan. Dengan kekuatan lokasi pelancongan yang menarik, saya yakin industri pelancongan akan meningkat.

“Labuan memiliki tiga buah pulau yang telah diiktiraf sebagai Taman Laut Kebangsaan dan terdapat juga lokasi bagi penyelam. Dalam masa yang sama, di sini juga mempunyai empat buah kapal perang dunia kedua yang menjadi tarikan pelancong.

“Seperti yang diketahui umum, Labuan merupakan sebuah pulau bebas cukai yang boleh dinikmati oleh pelancong untuk mereka mendapatkan barangan yang tidak dikenakan cukai,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Rithuan berkata dengan kemajuan industri pelancongan pada hari ini, ia mampu memacu ekonomi pelbagai sektor pembangunan di pulau tersebut lebih-lebih lagi Labuan juga dikenali sebagai hab logistik, industri minyak dan gas selain Hab Kewangan Islam Antarabangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas