Berita

Kerajaan negeri Melaka wujudkan satu aplikasi

MELAKA, 9 Dis -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) semasa membentang Bajet 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, hari ini.
- Diterbit 22 Mac 2021 11:44 AM MYT

KERAJAAN negeri Melaka menerusi Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Melaka membangunkan gerbang pembayaran bersepadu dalam talian, Melaka Pay bagi memudahkan urusan semakan dan pembayaran pelbagai perkhidmatan di bawah agensi kerajaan negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata aplikasi yang berfungsi sebagai Melaka Pay One-Stop Centre itu menyediakan 18 perkhidmatan daripada lapan agensi kerajaan negeri bagi fasa pertama bermula pada 1 April ini.

Beliau berkata agensi terlibat ialah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah, PDT Alor Gajah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Tabung Amanah Pendidikan Melaka.

“Rakyat boleh membuat semakan atau bayaran cukai tanah, cukai petak, cukai taksiran, kompaun, caj warisan dan bayaran balik pinjaman pendidikan.

“Aplikasi Melaka Pay boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna IOS,” katanya pada Majlis Pelancaran Melaka Pay Mobile Apps di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi fasa kedua pelaksanaan aplikasi itu, beberapa agensi lain dijangka turut menawarkan perkhidmatan mereka dalam tempoh terdekat antaranya Pusat Zakat Melaka untuk pembayaran zakat fitrah dan pendapatan, Majlis Agama Islam Melaka (pembayaran wakaf dan fidyah) dan empat pihak berkuasa tempatan (sewa gerai).

Katanya, mod pembayaran perkhidmatan yang disediakan ialah menerusi perbankan Internet menggunakan Financial Process Exchange (FPX) dan setiap transaksi yang berjaya akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak 50 sen bagi individu dan syarikat (RM1) mengikut ketetapan agensi terlibat.

Sulaiman berkata pembangunan aplikasi itu selaras dengan kerangka Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 menerusi Flagship keempat iaitu Digital Melaka.

Beliau berkata aplikasi itu juga membuktikan kerajaan negeri komited dalam usaha memperluaskan inisiatif digital di peringkat negeri dan sentiasa memastikan hala tuju seiring dengan transformasi digital di peringkat nasional. – BERNAMA

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas