Berita

Kerajaan bantu penghuni Selangor, Malayan Mansion

PETUGAS perubatan melakukan saringan kesihatan ke atas penghuni di Selangor Mansion yang majoritinya warga asing.
- Diterbit 7 April 2020 9:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKNWP) akan membantu penghuni di Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, PKPD dikenakan di dua premis itu apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati lebih 45 kes positif di kawasan Jalan Masjid India dan sekitarnya setelah ujian saringan dilakukan semalam.

“Kita telah dimaklumkan oleh KKM, daripada 90 lebih sampel yang diambil semalam di Selangor Mansion, didapati kira-kira 10 peratus atau 11 kes positif Covid-19.

“Di Malayan Mansion pula, kita mendapati empat kes positif manakala di Menara One City terdapat 30 kes positif dan secara automatik akan diletakkan sebagai Zon Merah,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke Bangunan Selangor Mansion hari ini.

ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia memasang kawad besi sebagai langkah keselamatan di kawasan Selangor Mansion.

Annuar yang juga Pengerusi JKKKNWP b berkata, pihaknya telah melantik Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Santhara sebagai wakil kerajaan untuk berhubung dengan tiga kedutaan asing yang melibatkan rakyat mereka.

“Tugas beliau untuk memaklumkan perkembangan terkini kerana melibatkan pekerja asing terdiri daripada Bangladesh, India dan Pakistan.

“Beliau akan mengadakan perjumpaan dan petang ini, wakil kedutaan yang terlibat akan hadir ke kawasan berkenaan,” katanya.

Annuar memberitahu, petang ini hebahan dalam pelbagai bahasa dibuat bagi menerangkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) setelah kawasan ini dikenakan PKPD.

“Sekiranya menghadapi masalah, mereka harus menghubungi petugas.

“Kita juga akan memberikan perhidmatan kaunselor, kit makanan asas mengandungi beras, minyak, tepung dan sardin untuk mereka yang terlalu memerlukan,” katanya.

Tambah Annuar, sekiranya mereka hendak memesan makanan dari luar, petugas akan menerangkan kaedah bagi menjamin keselamatan penghantar makanan dengan kerjasama wakil kedutaan masing-masing.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dan Panglima 12 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas