Berita

170 pesakit baharu, kematian cecah 63 kes

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 7 April 2020 10:12 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah pesakit positif Covid-19 mencecah 3,963 kes selepas 170 pesakit baharu direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 80 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 1,321 kes, kira-kira 33.33 peratus dari jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian pula meningkat kepada 63 orang selepas seorang lelaki berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Katanya, mangsa berkenaan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Johor pada 5 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pukul 11 malam semalam.

“Mangsa mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada Mac lalu.

“Setakat hari ini, 92 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 50 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas