Berita

Keputusan beri impak besar kepada kuasa negeri di bawah Sultan dan Raja – PPMM

- Diterbit 9 Februari 2024 3:52 PM MYT

PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan oleh panel hakim berhubung petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ke atas Dewan Undangan Negeri Negeri Kelantan menunjukkan bahawa telah memberi impak besar kepada kuasa negeri di bawah sultan atau raja.

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata ia khusus dalam penafsiran punca kuasa di dalam membuat undang-undang jenayah di Malaysia.

“PPMM menggesa pihak kerajaan melalui cabang legislatif untuk melakukan tindakan segera di dalam membuat sebarang pindaan-pindaan yang wajar di dalam undang-undang bagi memastikan kuasa negeri dapat dikekal dan/atau ditambah baik dalam hal ehwal agama islam bagi mengelakkan kelompongan di dalam bidangkuasa sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Muhamad Hisham, berdasarkan kepada keputusan oleh Mahkamah Persekutuan seramai sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah memutuskan secara senarai kesalahan termaktub di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah tidak sah dan dibatalkan.

“Berdasarkan kepada keputusan ini, PPMM menerima keputusan oleh panel hakim tersebut namun menegaskan bahawa beberapa tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak-pihak bekepentingan demi menjaga kemaslahatan umat islam di Malaysia,” katanya.

Beliau menggesa tindakan yang lebih efektif untuk dilakukan oleh melalui Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam di dalam memberikan syor yang terbaik kepada pihak kerajaan di dalam memastikan tiada pertindihan kuasa negeri khusus berkenaan hal ehwal islam dapat diselesaikan.

“Syor-syor ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada umat islam di dalam mengamalkan ajaran islam dan dilaksanakan dengan kadar segera dan menutup ruang cabaran undang-undang seperti ini pada masa akan datang.

“PPMM percaya pelbagai usaha yang jitu perlu dilakukan oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam memastikan kuasa negeri khusus berkenaan hal ehwal agama islam dapat dipelihara dan menggesa usaha-usaha tersebut dapat dilaksanakan melalui kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan demi mengarusperdanakan syariah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas