Fokus

LISC kukuhkan Labuan dalam penganjuran sukan air dunia

- Diterbit 10 Mei 2024 9:35 AM MYT

TEMASYA sukan air Labuan International Sea Challenge (LISC) edisi ke- 26 yang telah melabuhkan tirai baru-baru ini telah berjaya menarik lebih 2,000 penyertaan dari penggiat sukan tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri lebih 30,000 peminat sukan air daripada dalam dan luar negara sekaligus meletakkan acara tersebut sebaris dengan sukan bertaraf antarabangsa yang lain.

Tidak seperti Minggu Kiel, di Jerman atau Minggu Pelayaran Arendal yang berlangsung di Norway, LISC menawarkan pelbagai pertandingan sukan air yang lebih meluas termasuk kejohanan jet ski, perlumbaan kayak, perlumbaan bot, dan juga cabaran memancing laut dalam dan berenang.

Kepelbagaian yang ditawarkan ini dilihat berjaya memenuhi cita rasa khalayak dengan lebih meluas membabitkan peminat sukan air yang berbeza khususnya dari dalam kalangan warga tempatan yang sudah biasa dengan sukan berkait dengan maritim sejak sekian lama.

Penganjuran LISC 2024 juga mempertandingkan lebih 18 acara sukan air yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan (PL) menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM278,390 antaranya pertandingan Memancing Laut Dalam DAIWA dan Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau Labuan yang merupakan ‘pelaris’ untuk edisi kali ini.

Penekanan kepada budaya

TIDAK sekadar sukan air yang biasa dianjurkan di mana-mana tempat, LISC sejak sekian lama menekankan kepada budaya tempatan berikutan kedudukan geografi yang terdedah kepada aktiviti maritim selain menjadi adat yang dipertahankan turun temurun.

Antara pertandingan yang dianjurkan adalah Camping Glamping LISC 2024, Silat, Bola Tampar, Petanque, Sepak Takraw, Ragbi dan memancing yang mana kesemua acara berlangsung di pesisiran pantai Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Menerusi penganjuran LISC dari edisi pertama sehingga kini, PL menggabungkan unsur-unsur warisan maritim Labuan dan budaya tempatan ke dalam acara tersebut, ia dapat dilihat melalui perlumbaan bot tradisional dan persembahan kebudayaan.

Dapat dipastikan bahawa kebanyakkan pertandingan Pelayaran Regatta Antarabangsa yang telah dianjurkan berkemungkinan tidak mempunyai hubungan budaya yang kuat ini dan hanya di sertai oleh pasukan elit dalam bidang sukan tersebut sahaja.

Selain itu LISC juga berorientasikan komuniti dan acara seperti Perlumbaan Bot Teksi Air atau Tarik Tali Bot Air dilihat berjaya mewujudkan ‘vibes‘ yang menyeronokkan dan berorientasikan komuniti. Acara ini melibatkan peserta tempatan dan menyediakan hiburan untuk penonton.

Penganjuran LISC yang tidak terhad kepada mana-mana kumpulan dan lebih mudah diakses oleh pesaing amatur berbanding beberapa regatta pelayaran berprestij seperti Cowes Week yang diadakan setiap tahun di Isle of Wight, England dan boleh dikatakan antara salah satu pelayaran regatta paling berprestij di dunia yang menampilkan perlumbaan untuk pelbagai kelas bot, daripada kapal layar klasik hingga bot perlumbaan berprestasi tinggi. Berbanding LISC, penganjurannya hanya menawarkan gabungan unik sukan air yang kompetitif, perayaan kebudayaan tempatan dan suasana komuniti dan iatulah yang membezakan temasya tersebut daripada kejohanan antarabangsa yang lain.

Perkenal tiga acara baharu

DALAM meningkatkan partisipasi peminat sukan air, penganjur telah memperkenalkan tiga acara baharu iaitu Coastal Ninja Warrior Challenge, Regatta serta Camping Glamping LISC 2024 yang turut dibuka kepada umum.

Coastal Ninja Warrior Challenge merupakan pertandingan yang menilai tahap kekuatan dan kecergasan seperti ninja, iaitu pahlawan agung zaman Jepun. Pemenang utama memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, naib juara akan mendapat RM1,500, tempat ketiga (RM1,000), keempat (RM500) , kelima (RM300), keenam (RM200), ke-7- Ke-10 (RM100) dan ke-11-20 (RM50).

Peserta dikenakan yuran penyertaan RM60 untuk warga Malaysia dan RM100 untuk warga asing.

Selain itu menerusi acara Regatta LISC2024,  46 pelayar dari Labuan, Sabah, Selangor dan luar negara seperti Brunei Darussalam menyertai acara yang julung kali diadakan itu.

Dalam acara Camping Glamping LISC2024 pula, kira-kira 212 peserta tempatan dari Labuan, Sabah, Sarawak dan lima peserta Brunei menyertai acara yang turut pertama kali diadakan.

Menerusi Pertandingan Memancing Laut Dalam DAIWA LISC 2024, pasukan dari Hong Kong iaitu Blue Warrior mengungguli tempat pertama dan telah berjaya membawa hasil tangkapan ikan seberat 85.8 kilogram (kg) sekali gus berjaya membawa pulang hadiah utama RM45,000.

Cabaran DAIWA Deep Sea Challenge diadakan di kawasan Pulau Layang-Layang, Kepulauan Spratly Malaysia iaitu kira-kira 80 km dari Labuan menerima penyertaan kira-kira 184 peserta dari dalam dan luar negara.

Antara peserta luar negara menyertai cabaran DAIWA Deep Sea Challenge termasuk Brunei, Hongkong, Kanada, Brunei, China dan Malaysia.

Kesemua peserta berkenaan berjaya menaikkan lebih 10 jenis ikan seperti dog tooth, keratang, ruby, ikan putih , barracuda, wahoo, amberjack, coral trout, kerisi bali dan red snapper.

Kira-kira 648.2 kg ikan kemudian dilelong dan berjaya memperolehi RM10,512.00 dan diserahkan kepada beberapa badan kebajikan yang terdapat di Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas