Berita

Tradisi ‘bercucul’ menyinari sambutan Aidilfitri di Labuan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Mei 2024 11:45 AM MYT

TRADISI menyalakan pelita buluh atau “bercucul” dalam dialek masyarakat tempatan, diteruskan di Labuan bagi memeriahkan suasana menyambut Aidilfitri.

Hampir semua kampung di pulau bebas cukai itu menghidupkan budaya memasang pelita daripada buluh yang diamalkan sejak 1960-an, yang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada identiti budaya di situ, tetapi juga memupuk rasa perpaduan dan kegembiraan penduduk bersempena dengan hari raya.

Setiap tahun, kecuali semasa pandemik COVID-19 melanda, aktiviti itu diraikan dengan penuh semangat dan adakalanya dianjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai.

Ketua Kampung Pohon Batu Ismail Samad berkata adalah penting untuk mengekalkan tradisi itu kerana ia bukan sahaja memeriahkan suasana 1 Syawal, tetapi juga menyatukan dan menghimpunkan penduduk daripada pelbagai latar belakang.

“Bercucul lebih sekadar perayaan … ia simbol warisan dan perpaduan kita bersama sebagai sebuah komuniti. Pada masa suka dan duka, adalah penting untuk memelihara adat resam yang menyatukan kita bersama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pelita buluh dengan reka bentuk dan corak yang unik, memancarkan cahaya hangat di seluruh kampung di pulau itu, mewujudkan suasana memukau yang sinonim dengan musim perayaan ini.

“Budaya ini membolehkan keluarga berkumpul di sekeliling pelita bercahaya ini, saling mengucapkan salam, sekali gus memupuk semangat kemasyarakatan dan setiakawan,” katanya.

Ismail berkata bercucul melambangkan kekayaan sejarah budaya dan tradisi Labuan yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas