Berita

644 kenderaan di sepanjang 3.35 km, lakar sejarah dalam MBOR

- Diterbit 9 Februari 2024 3:51 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) berjaya mencipta sejarah dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Program Susunan Terpanjang Kenderaan @ 50WP dengan penglibatan 644 buah kenderaan sepanjang 3.35 kilometer.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, susunan terpanjang kenderaan dengan bendera Wilayah Persekutuan di jajaran jalan Presint 2, 3 dan 4 itu bermula dari persimpangan Kementerian Kewangan dan berakhir di Lingkaran Gemilang, Putrajaya.

“Acara yang diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2024 itu membabitkan kenderaan persendirian, kenderaan persatuan, kenderaan milik kerajaan dan swasta termasuk motosikal, sedan, supercar dan motorhome.

“Kenderaan yang terlibat mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan sebagai melahirkan rasa bangga selain mengekspresikan rasa cinta dan sayang terhadap Wilayah Persekutuan,” ujar beliau.

Terdahulu, sebanyak 61 program telah disusun sempena SHWP 2024 di bawah enam teras iaitu Teras Pengiktirafan; Teras Ilmiah dan Pendidikan; Teras Usahawan; Teras Kemasyarakatan; Teras Seni dan Budaya serta Teras Sukan.

Penganjuran SHWP 2024 yang bertemakan ‘Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni’ itu memberikan fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Dalam masa sama, Fadlun berkata kehadiran pengunjung ke Putrajaya Open Day (POD) 2024 berjaya mencapai 200,000 individu melebihi sasaran awal iaitu seramai 50,000.

“Alhamdulillah kita menerima sambutan yang sangat menggalakkan terutama bagi mereka yang ingin mencuba Transit Aliran Automasi (ART) yang diperkenalkan di sini (Putrajaya) bermula 1 Februari lalu,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti Wilayah Persekutuan dalam mencapai misi mencipta rekod di peringkat negara melambangkan kejayaan dan kecemerlangan.

“Dalam masa sama, ia juga dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan dan perpaduan sejagat,” ujar beliau SHWP 2024 dan pelaksanaan Program 50 Tahun Wilayah Persekutuan adalah berkonsepkan mesra rakyat yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Tambahnya, ia bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mencerminkan nilai Ihsan melalui keadilan sosial dan kesinambungan usaha dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menonjolkan kepekaan terhadap keperluan masyarakat.

Sebagai rekod, Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas