Fokus

PL sedia teroka peluang baharu tingkatkan penyertaan LISC

- Diterbit 10 Mei 2024 9:45 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) bersedia meneroka peluang baharu termasuk memperbaiki tahap penganjurannya dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan Labuan International Sea Challenge 2025 akan datang.

Dikenali sebagai Mutiara Borneo, pulau yang kaya dengan sumber alam, tinggalan sejarah dan potensi pantai yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Ismail berkata pihaknya akan meningkatkan tahap kemampuan termasuk akan memperkenalkan pengimbas kod QR dalam usaha mempercepat dan memudahkan sebarang urusan berkenaan penganjuran.

“Untuk menambahbaik penganjuran ini pada masa akan datang sebagai penganjur, kami akan menyediakan pengimbas kod QR di beberapa kawasan acara bagi mendapatkan sebarang cadangan ataupun ulasan daripada peserta dan pengunjung.

“Bagi penganjuran pada tahun hadapan, kami akan sentiasa membuat persediaan awal dan rapi demi memastikan penganjuran temasya ini pada masa akan datang berjalan dengan lancar dan lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata dalam menganjurkan temasya antarabangsa di Labuan, pihaknya kini dalam usaha menjenamakan produk-produk pelancongan di pulau itu menerusi teras 5S iaitu Sun, Sand, Seafood, Sport Tourism dan Shopping Services bagi membangunkan semula sektor pelancongan pulau itu.

Katanya, dengan teras 5S itu akan menunjukkan kekuatan yang dimiliki oleh Labuan yang perlu dimantapkan terutamanya dalam menggandakan usaha mempromosi produk pelancongan di pulau ini kepada luar.

“Kita yakin dan percaya
dengan aspirasi ini akan menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan yang lebih mudah menarik perhatian dan berketerampilan di mata pengunjung luar.

“Dengan penganjuran LISC yang diadakan pada setiap tahun ini menjadikan sebagai satu medium untuk mempromosikan kempen 5S ini,” katanya.

Tambahnya, sepanjang penganjuran acara berprestij itu berlangsung selama tiga hari itu mencatatkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Ini menunjukkan penganjuran LISC tahun ini bukan sahaja mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peserta sahaja malahan dari segi kehadiran pengunjung juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas