Berita

JWP peruntuk RM1.102 juta buat bakal jemaah haji

ZALIHA (tengah) menyerahkan sumbangan khas Jemaah Haji Wilayah Persekutuan 2024 kepada wakil pimpinan setiap Wilayah Persekutuan
- Diterbit 7 Mei 2024 6:00 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) memperuntukkan sejumlah RM1.102 juta kepada bakal jemaah haji di Wilayah Persekutuan melalui inisiatif Ihsan @ PUJI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan itu akan memanfaatkan seramai 2,204 jemaah haji di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Pada tahun ini seramai 2,204 orang bakal jemaah haji di Wilayah Persekutuan dengan pecahan seramai 1,552 warga Kuala Lumpur, 579 di Putrajaya dan 73 orang di Labuan.

“Sumbangan akan disalurkan dalam bentuk wang tunai untuk menampung perbelanjaan barangan kelengkapan serta membantu para jemaah haji dalam persiapan mereka untuk mengerjakan ibadah tersebut.

“Ia juga adalah tanda kesyukuran untuk meraikan mereka yang telah dijemput untuk menunaikan haji sekali gus dapat memberi keceriaan kepada mereka,” ujar beliau ketika hadir pada Majlis Semarak Aidilfitri bersama Media di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah JWP, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.

Menurut Zaliha, sumbangan tersebut akan disalurkan kepada tiga agensi kerajaan terlibat iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

“Sumbangan yang akan diberikan berbentuk wang tunai berjumlah RM500.00 setiap seorang dan diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Presiden Perbadanan Putrajaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan sebagai wakil penerima di Wilayah Persekutuan masing-masing.

“Kemudian, ia akan diagihkan kepada bakal jemaah haji muasassah di wilayah masing-masing. Sumbangan seumpama ini juga merupakan kali pertama diberikan oleh JWP,” jelasnya.

Tambah beliau JWP akan terus komited memberi tumpuan dalam menyokong keperluan rakyat termasuk aspek keagamaan dan ibadah. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas