Berita

Kempen Year End Zakat dilancarkan

Ahmad Shukri Yusoff.
- Diterbit 21 November 2020 4:00 AM MYT

PELAKSANAAN Kempen Year End Zakat (YEZ) oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) setiap tahun, menjadi medium hebahan bagi masyarakat Islam tentang perkhidmatan pembayaran zakat terkini.

Selain itu, kempen tersebut turut menyeru orang ramai menyegerakan tanggungjawab berzakat selewat-lewatnya pada 31 Disember 2020 bagi melayakkan mendapat rebat cukai pendapatan taksiran bagi tahun 2020.

AHMAD SHUKRI

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, berbanding tahun-tahun sebelum ini, Kempen YEZ 2020 diawalkan kepada 16 November sebagai galakan orang ramai untuk membayar lebih awal serta mengelak kesesakan di kaunter PPZ-MAIWP terutama bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Beliau berkata, orang ramai turut disaran supaya menggunakan semua saluran pembayaran zakat yang disediakan termasuklah 10 kaunter PPZ-MAIWP yang beroperasi dari 8.15 pagi sehingga 4.45 petang mulai bulan ini dan Disember.

“Pada Disember, semua kaunter ini dibuka setiap hari termasuk cuti umum dan kami juga sentiasa mengambil langkah pencegahan serta mengikuti SOP ditetapkan bagi memastikan keselamatan pembayar zakat mahupun kakitangan terjamin.

“Pembayar zakat juga berpeluang menangi lebih 2,000 hadiah ditawarkan melalui semua saluran bayaran yang disediakan PPZ-MAIWP mulai 16 November hingga 31 Disember ini.

Setiap pemenang dipilih berdasarkan cabutan dan tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan,” katanya ketika melancarkan Kempen YEZ 2020 di PPZ-MAIWP, Taman Shamelin Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, antara kelainan kempen tahun ini ialah pembayar zakat turut berpeluang memenangi 1,000 e-baucar Barangan Asnaf Preneur dengan jumlah keseluruhan RM50,000 dan hanya boleh ditebus di kedai-kedai usahawan asnaf.

Inisiatif yang diambil bukan sekadar memberikan penghargaan kepada pembayar zakat tetapi turut bertujuan membantu kalangan asnaf menjana pendapatan di waktu sukar ini.

Sementara itu, selain perkhidmatan kaunter bagi urusan pembayaran zakat boleh dilakukan dalam talian melalui portal www.zakat.com.my bila-bila masa, 24 jam sehari dan di mana sahaja.

Menurut Ahmad Shukri, perkhidmatan disediakan melalui portal PPZ-MAIWP itu sebahagian usaha membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19, selain menggalakkan urusan pembayaran zakat dilakukan orang ramai secara mudah dan efisien.

Katanya, perkhidmatan khas, Door2Door turut disediakan PPZ-MAIWP melalui Zakat Ride2U serta Kaunter Zakat Bergerak (KZB) untuk  memudahan orang ramai.

“Khidmat ini disediakan sebagai pelengkap untuk kemudahan pembayar yang tidak berkesempatan ke kaunter ataupun mereka yang mahu layanan personal. Bayaran minimum zakat ditetapkan dari perkhidmatan ini sebanyak RM2,000,” katanya.

Bayaran zakat boleh juga dibuat melalui ejen-ejen rasmi yang dilantik PPZ-MAIWP iaitu perbankan internet, portal online atau e-wallet, kaunter bank dan pejabat pos.

PPZ-MAIWP menyeru mereka yang layak, segera tunaikan zakat melalui pelbagai kemudahan dan saluran bayaran yang disediakan.

Sekiranya lebih ramai orang menunaikan zakat, maka lebih ramai asnaf dapat disantuni khususnya dalam situasi pandemik COVID-19 ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan zakat, nilai pembayaran mahupun tempahan perkhidmatan Door2Door, hubungi talian Zakat 1-300-88-5757, portal www.zakat.com.my atau emel kepada [email protected].

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

BERITA SEMASA