Berita

Annuar serah ‘Gerai Mary’ kepada peniaga OKU

|
- Diterbit 21 November 2020 4:14 AM MYT

WALAUPUN bergelar orang kurang upaya (OKU), kekurangan itu tidak menjadi penghalang seorang lelaki bagi membangun dan mengusahakan gerai nasi lemak sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Biarpun diuji tanpa dua tangan yang sempurna, Mohd Nor Abdullah 28, yang dibantu rakannya ligat melayan pelanggan seperti insan normal yang lain.

Mohd Nor berkata, setiap hari beliau akan membuka meja di hadapan sebuah kedai kek di bawah bilik sewanya untuk berniaga.

“Saya mula menjual nasi lemak sejak empat bulan lalu kerana mahu berdikari dan tidak mahu susahkan keluarga.

“Nasi lemak ini dibekalkan oleh ibu kepada rakan karibnya dan setiap hari boleh menjual kira-kira 100 bungkus dengan harga RM1.50 sebungkus,” katanya kepada Wilayahku selepas penyampaian Gerai Mary di Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Penyampaian gerai tersebut disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa. Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che’ Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zalzainizam Zainun.

Kata Mohd Nor, beliau tidak menyangka Menteri Wilayah Persekutuan datang untuk menyerahkan bantuan kepadanya.

“Saya tidak menyangka sama sekali menteri sanggup datang untuk makan bersama, malah menghulurkan bantuan gerai kepada saya.

“Ini dapat memudahkan lagi perniagaan saya pada masa hadapan dan akan berusaha keras seperti nasihat Tan Sri Annuar Musa yang mahu saya berjaya dalam hidup,” katanya.

Sementara itu, Annuar menzahirkan rasa kagum terhadap Mohd Nor yang sanggup berusaha untuk memajukan dirinya sendiri.

“Beliau merupakan seorang OKU yang luar biasa dan memiliki serba kekurangan serta menunjukkan usaha gigih mahu berniaga.

“Kalau tidak ada keberanian yang kuat, beliau tidak akan berniaga dan oleh kerana itu, kita perlu membantu beliau agar dapat berniaga dalam keadaan selesa dan memberikan sokongan moral kepadanya,” katanya.

Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata, pemberian Gerai Mary ini merupakan program berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan sebagai galakan kepada mereka untuk berniaga.

“Program ini baru sahaja bermula dan untuk membina gerai ini, YWP mampu membinanya kira-kira 50 unit sebulan.

“Dimana sahaja kita jumpa, yang munasabah kita akan bantu. Kalau kita jumpa sesiapa yang layak dibantu, maka YWP akan membantu dan memudahkan,” katanya. – WILAYAHKU

ANNUAR (kiri) beramah mesra dengan Mohd Nor.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas