Berita

YWP bantu ketidakmampuan waris

ZAIZALNIZAM menyerahkan Kit Pengurusan Jenazah kepada wakil dari masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 21 November 2020 3:00 AM MYT

PRIHATIN dengan keperluan umat Islam semasa musibah COVID-19 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyumbangkan set kit pengurusan jenazah untuk semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, sumbangan tersebut dilakukan pihaknya kerana memahami keadaan negara yang masih belum pulih dari musibah.

“Kita sudah sedia maklum, kos pengurusan jenazah di Kuala Lumpur agak tinggi dan ketika ini kebanyakan masjid dan surau berhadapan dengan kekurangan sumber kewangan disebabkan tidak ramai yang dapat beribadah dan mengimarahkan masjid.

“Kita memahami masalah tersebut dan YWP berbesar hati untuk menyumbangkan kit pengurusan jenazah kepada semua masjid dan surau Jumaat untuk manfaat kariah setempat yang betul-betul memerlukan khususnya dari golongan miskin dan tidak berkemampuan,” katanya kepada Wilayahku selepas majlis Penyampaian Sumbangan Kit Jenazah di Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Masjid JAWI, Muhamad Zakuwa Rodzali.

Zaizalnizam berkata, secara keseluruhan sumbangan ini melibatkan kos yang besar iaitu lebih RM400,000 dan lebih 2,000 kit pengurusan jenazah telah diedarkan.

“Program ini telah dilaksanakan sebelum ini di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan ini merupakan program susulan yang diusahakan oleh pihak YWP untuk menjaga kebajikan warga Wilayah Persekutuan.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak JAWI untuk memastikan bahawa warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan akan terus mendapat sumbangan seumpama ini.

“Dengan sumbangan ini, diharapkan pengurusan jenazah tidak ditangguhkan atas alasan ketidakmampuan waris dan seterusnya dapat membantu menyelesaikan masalah seperti tuntutan agama Islam,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ajib menyifatkan sumbangan ini bertepatan dengan masa kerana keseluruhan masjid dan surau mengalami penyusutan kutipan tabung yang amat ketara.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan, banyak masjid dan surau tidak dapat diimarahkan oleh jemaah sehingga tidak dapat dilaksanakan kutipan derma seperti kebiasaan.

“Walaupun kini telah memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, pihak JAWI telah membenarkan setiap masjid dan surau dibuka namun menghadkan jemaah sebagai langkah berjaga-jaga, namun kutipan tersebut masih rendah,” katanya.

Katanya, sumbangan tersebut akan diagih-agihkan kepada setiap masjid dan surau yang ada di Kuala Lumpur mengikut zon-zon yang telah ditetapkan.

“Setiap masjid di Wilayah Persekutuan yang berjumlah 71 buah akan menerima 15 unit kit tersebut manakala sebanyak 87 surau Jumaat pula akan menerima kit sebanyak 10 unit,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas