Berita

Karya kreatif cat air

ANTARA hasil lukisan menggunakan cat air.
- Diterbit 13 Disember 2019 8:57 AM MYT

BAGI mengetengahkan penggunaan cat air dalam hasil karya, Kumpulan seniman visual, Gangsta Watakala mengadakan pameran lukisan berjudul Pameran Cat Air GW06 di Creative Space Balai Seni Lukis Negara Kuala Lumpur bermula 11 November hingga 31 Disember ini.

Pameran yang menggunakan media cat air ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-6 penubuhan Gangsta Watakala.

Menurut pensyarah seni visual Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Rasfan Abu Bakar, perkataan Gangsta dipilih kerana ia adalah satu simbol dan cabaran untuk ahli kumpulan melukis secara langsung di hadapan orang ramai tanpa rasa malu manakala Watakala merujuk perkataan watercolour di dalam dialek utara tanah air.

“Cat air ini dipilih kerana ia memperingati sejarah serta tokoh seniman yang mempelopori media tersebut seperti Abdullah Arif dan Ab. Ibrahim.

“Pameran kali ini mengetegahkan pelbagai karyakarya hebat serta kreatif dari pelopor kumpulan seperti Abbey Zoul, Azman Nor, Hisham Salmin, Jamal Tommy, Ryzalman Mysran dan Wan Borhanuddin.

“Selain itu mereka juga turut menjemput seniman cat air terkemuka antaranya Abdul Ghani Ahmad, Maamor Jantan dan Aminah Abdul Rahman di samping penampilan khas dari Thailand iaitu Direk Kignok dan Namchai Saensupha,” jelasnya.

Menurut Rasfan, tema lukisan adalah bebas sekali gus membolehkan kesemua seniman berkarya tanpa halangan.

Jelas beliau, kebanyakan pengkarya melukis suasana alam seperti pemandangan di tepi pantai, landskap sawah padi dan sungai.

“Selain itu ada juga yang melukis suasana perkampungan nelayan, bot-bot nelayan di jeti, keriangan wajah kanak-kanak serta imej pekan kecil yang dilatari dengan bangunan,” ujarnya.

SEBAHAGIAN pelukis dan pempamer yang ada di Galeri Balai Seni Negara.

Sementara itu, koordinator pameran yang juga pengkarya, Azman Nor memberitahu, dia memilih subjek bali dan motosikal lama sebagai ramuan dalam karyanya.

“Motorsikal lama seperti Honda Cup C70 menjadi pilihan karya kerana saya tertarik dengan rekaan dan fungsinya yang pelbagai disamping warna yang begitu klasik dan menawan.

“Motorsikal ini juga mengimbau zaman kecil saya kerana ia adalah jentera yang paling hebat dan mengkagumkan pada zaman dahulu malah fungsinya juga adalah pelbagai dan menjadi pilihan semua golongan,” jelasnya.

Terdahulu, selain pameran, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh disertai oleh pihak pengunjung seperti bengkel Potret Cat Air (1 Dis 2019), Bedah Buku Intrig (14 Dis 2019) serta Bengkel Karikatur (21 Dis 2019).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas