Berita

Emas tiruan, peragut berputih mata

CCTV menunjukkan suspek merentap rantai leher mangsa selepas menunggu di laluan masuk parkir bangunan Dua Sentral.
- Diterbit 17 Disember 2019 2:16 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bertindak meragut rantai leher emas milik wanita warga India di Bangunan Dua Sentral, No 8, Jalan Tun Sambanthan di sini terpaksa berputih mata apabila rantai berkenaan adalah emas tiruan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 10.55 pagi, Ahad lalu melibatkan mangsa wanita warga India.

“Menurut anggota Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertugas sekitar bangunan itu, mangsa enggan membuat laporan polis kerana rantai yang diragut adalah emas tiruan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 13 saat yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam meragut seorang wanita dipercayai berusia sekitar 50-an.

Sebelum kejadian, suspek menunggu mangsa di laluan masuk parkir bangunan Dua Sentral sebelum merentap rantai leher. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas