Berita

Tun Fuad Stephens: Wartawan jadi tokoh Negarawan

SEJARAH pentadbiran beliau dipamerkan di Memorial Negarawan Tun Mohammad Fuad Stephens.
- Diterbit 13 Disember 2019 8:31 AM MYT

TIDAK banyak sejarah yang membicarakan mengenai negarawan ini, namun jasanya tidak dapat dinafikan dekad ini apabila beliau antara pemimpin yang bertanggungjawab dalam pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.

Sifat kepimpinan yang dimiliki tokoh ini telah menjadikannya perantara untuk menghubungkan pemimpin-pemimpin kaum lain di Sabah. Menggunakan pendekatan memujuk, beliau akhirnya berjaya membawa Sabah menyertai Malaysia selepas kesemua pemimpin terlibat bersatu hati.

Malah, beliau merupakan antara pemimpin yang menandatangi Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 12 Julai 1962 yang lalu.

ANTARA pingat dan pangkat yang pernah dianugerahkan kepada beliau.

Bagi menghargai jasa beliau, memorial Negarawan Tun Mohammad Fuad Stephenss yang terletak di Jalan Dato’ Onn berhampiran Lanai Kijang, Bank Negara Kuala Lumpur ini diwujudkan bagi mengabadikan sejarah mengenai tokoh negarawan yang juga Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Sebelum berkecimpung di dalam politik, Allahyarham Tun Muhammad Fuad atau nama sebenarnya, Donald Aloysius Marmaduke Stephenss merupakan seorang guru dan pernah berkhidmat sebagai wartawan di Sabah kira-kira 60 tahun yang lalu.

Apabila melangkah ke memorial tersebut, anda akan melihat potret pemimpin yang menjadi kesayangan suku kaum Kadazan-Dusun dan merupakan ‘Huguan Siou’ atau pemimpin agung yang pertama bagi kaum itu.

Di dalam galeri tersebut, para pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai paparan gambar antaranya suasana ketika era awal pembentukan negara ini.

PAKAIAN tradisional yang pernah digunakan sewaktu menjadi Ketua Menteri Sabah.

Selain itu, gambar-gambar yang turut dipaparkan adalah suasana ketika lawatannya sebagai Ketua Menteri yang meninjau kehidupan rakyat Sabah di kawasan pedalaman mahu pun di bandar.

Turut dipaparkan adalah gambar kenangan bersama-sama pemimpin kaum di Sabah selepas majlis menandatangani perjanjian untuk menyertai kesatuan Malaya pada tahun 1963.

Ruangan editorial

Para pengunjung juga akan dapat melihat sebuah ruangan yang memaparkan replika pejabat Tun Muhammad Fuad ketika beliau bertugas sebagai pengarang dan wartawan North Borneo News. Beliau mempunyai bilangan pengikut yang ramai ekoran penulisannya banyak mengkritik ketidakadilan penjajah British terhadap kakitangan awam yang terdiri daripada anakanak tempatan.

Di sebelah replika pejabat tersebut, terdapat keratan akhbar dan artikel yang pernah ditulis Allahyarham dengan nama pena ‘Roderick’. Selain itu, beliau juga menggunakan nama pena seperti ‘Vox Populi’ dan juga ‘Rambler’.

REPLIKA ruang pejabat Tun Fuad Stephens.

Beliau juga telah membuka sebuah akhbar sendiri iaitu The Sabah Times dengan modal RM1,000 yang dipinjam daripada abangnya pada tahun 1953. Edisi pertama diterbitkan pada 21 Januari 1953 dengan beliau sendiri berperanan sebagai wartawan, editor, jurutaip, penyusun huruf dan juga penghantar akhbar.

Selain itu, terdapat juga beberapa koleksi peribadi yang dipamerkan seperti dua pasang set pakaian ketika beliau bertugas sebagai Ketua Menteri. Turut dipamerkan sepasang pakaian tradisi kaum Kadazan miliknya yang dipakai ketika majlis Menadatangani Perjanjian Pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Di sudut lain, turut dipaparkan pingat-pingat penghargaan yang dianugerahkan kepadanya sebagai penghargaan jasa yang amat besar di dalam pembangunan Sabah dan juga Malaysia.

Turut dipaparkan di satu ruangan lain adalah berkenaan perjalanan terakhir negarawan ini setelah terlibat dalam kemalangan tragis apabila pesawat yang dinaikinya terhempas selepas menghadiri sebuah program di Labuan pada 6 Jun 1976. Insiden berkenaan turut mengorbankan sebahagian besar Kabinet negeri Sabah. Tragedi itu dikenali sebagai peristiwa ‘Double Six’.

Cebisan peristiwa besar negara yang terkandung di dalam memorial Tun Muhammad Fuad Stephens ini wajar ditekuni agar kita menjadi rakyat yang bersyukur dan sentiasa menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu yang berkorban dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang kekal Merdeka.

Wajarlah bagi warga kota untuk berkunjung ke memorial ini bersama keluarga bagi mengetahui lebih lanjut tentang negarawan ulung ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas