Berita

Kandungan provokatif di media sosial meningkat ketara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Mac 2024 9:10 AM MYT

SEBANYAK 35,490 kandungan provokatif telah diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu dan ia mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, menurut MCMC.

Menurut MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.

MCMC mengingatkan semua pihak supaya menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas