Berita

Tokoh wartawan Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia

DATUK Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini.
- Diterbit 29 Mac 2024 8:20 AM MYT

TOKOH Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee, meninggal dunia awal pagi hari ini.

Perkara itu disahkan isteri Allahyarham Datin Noraini Shariff.

“Innalilahi wainna ilaihi rojiun. Suami saya Ahmad Rejal Arbee telah kembali ke rahmatullah sekejap tadi pada pukul 2 pagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Solat jenazah akan dilakukan Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Selangor pada 9.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

Ahmad Rejal, 83, merupakan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian.

Allahyarham mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi pewarta luar negeri pertama agensi berita itu pada 1973.

Ahmad Rejal adalah antara pengamal media terawal yang meneroka konsep media dwibahasa dan antara kakitangan pengasas Bernama.

Sepanjang berkhidmat di Bernama, Allahyarham pernah menjawat jawatan Ketua Meja Politik dan Parlimen, kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarang dan Ketua Bahagian Ekonomi sebelum meninggalkan agensi berita itu untuk menyertai The News Straits Times pada 1976.

Bagaimanapun, Ahmad Rejal kembali menyertai Bernama sebagai Ketua Pengarang pada 1981 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1989.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Akhbar Malaysia pada Januari 1984 hingga April 1989.

Ahmad Rejal telah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014 sempena majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang wartawan veteran itu dalam bidang penulisan dan kewartawanan tanah air.

Turut dipilih menerima anugerah tersebut pada tahun itu ialah bekas Pengarang Bersekutu Kumpulan New Straits Times Allahyarham Zainon Ahmad. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas