Berita

100 hari: 10 perkara utama dalam radar Zaliha

- Diterbit 29 Mac 2024 12:26 PM MYT

MELEPASI tempoh 100 hari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa tampil dengan fokus untuk menyelesaikan 10 perkara utama yang merangkumi pelbagai isu. Ia merupakan panduan kepada beliau untuk mengurus dan menyelesaikan masalah yang disenaraikan itu secara tuntas sekali gus memastikan kehidupan warga Wilayah Persekutuan di bela sebaik-baiknya.

Titik perubahan yang mahu dilaksanakan Zaliha bukan sahaja memastikan masalah perbandaran diurus dengan baik, malah menerusi perencanaan jitu, Wilayah Persekutuan bakal menjadi juara kelestarian alam sekitar membangunkan sumber demi kepelbagaian ekonomi yang akan memberi manfaat kepada warganya.

Langkah yang diambil pentadbiran Zaliha jelas memberi tumpuan ke arah kemampanan sesebuah bandar raya dengan Pengenalan Bandar CHASE iaitu  Clean City, Healthy City, Advance City Safe City dan Eco-Frindly City dengan memperincikan enam tonggak utama  iaitu dengan menstruktur semula ekonomi, mewujudkan bandar pintar yang berdaya huni, menyeimbangkan sosio ekonomi warga, memeliharan dan memulihara alam sekitar, membudayakan digitalisasi dan melestarikan pelancongan yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) 2030 seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selepas Kuala Lumpur, Pelan Hala Tuju Bandar Rendah Karbon Putrajaya dijadikan panduan pelaksanaan dasar itu menjelang tahun 2030 yang dijadikan model sebagai bandar rendah karbon dan menjadi penggerak dan juga menyediakan panduan kepada pihak berkepentingan dalam menghadapai cabaran iklim masa depan.

Beliau telah memperkenalkan dasar baharu yang lebih inklusif terhadap masyarakat iaitu 1 Kebun 1 Komuniti dan Waste to Wealth yang dapat memanfaatkan kawasan lapang dan boleh memberikan pulangan dalam bentuk pendapatan sampingan kepada komuniti.

Dalam mengembalikan taman-taman rekreasi kepada matlamat asal, pentadbiran beliau akan menstrukturkan semula penempatan peniaga di kawasan tumpuan awam supaya ia tidak menganggu keselamatan dan menjamin keselesaan pengunjung dan penduduk setempat. Langkah tersebut bertujuan mengembalikan matlamat asal taman-taman rekreasi ini sebagai pusat riadah keluarga.

Zaliha juga melakarkan hala tuju jelas dalam usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat menerusi penubuhan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang mempunyai enam komponen iaitu Ilmu@PUJI, Upaya@PUJI, Ihsan@PUJI, Lindung@PUJI, Infra@PUJI dan Sihat@PUJI. Ia merupakan inisiatif untuk menstruktur semula serta menyelaras bantuan kerajaan dan program-program di Wilayah Persekutuan menerusi pendekatan Whole of Nation dengan kerjasama lebih 30 rakan strategik.

Responsif terhadap aduan rakyat yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di ibu kota, pentadbiran beliau akan memberikan fokus dalam menangani isu berkenaan menerusi tindakan menstruktur semula kawasan lambakan warga asing dan mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap serta mengemaskini dasar dan peraturan yang telah lama.

Isu peniaga dan penjaja tanpa lesen turut di dalam radar Ahli Parlimen Sekijang itu bagi meningkatkan imej Kuala Lumpur sebagai ibu kota berprestij dunia, langkah melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan yang lebih tegas ke akar umbi dalam menangani isu berkenaan. Selain itu, penempatan semula peniaga-peniaga juga akan dibuat melalui inisiatif Lestari Niaga.

Isu legasi yang telah terpendam berpuluh tahun lamanya akan diselesaikan dengan mencari punca dengan mengunjurkan penyelesaian tuntas seperti Kampung Setia Jaya menerusi kaedah menang-menang diantara pemaju dan penduduk.

Dalam menangani isu gelandangan, tindakan secara bersepadu dengan pelbagai agensi serta akan diambil serta akan menyelaraskan bantuan makanan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) . Selain itu, pihaknya akan mengumpulkan data dan membuat profiling agar penyelesaian terhadap isu tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Usaha merapatkan jurang dan melebarkan peluang antara jabatan dengan rakyat turut menjadi fokus Zaliha menerusi program sesi Temu Rapat Dr Zaliha dan mengaktifkan semula Majlis Menteri Wilayah yang merupakan platform Ahli Parlimen Kuala Lumpur menyatakan pandangan dalam proses pembangunan bandar raya.

Meskipun terpisah dengan Laut Cina Selatan, Labuan tidak akan dipinggirkan malahan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bakal meningkatkan peranan Labuan sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

Isu bekalan air dan elektrik sedang ditangani kerajaan menerusi beberapa projek berkaitan menerusi Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES). Untuk merancakkan lagi ekonomi Labuan, sebanyak 113 program kementerian dan agensi dilaksanakan di Labuan yang bakal menonjolkan lagi Permata Borneo itu.

Sebanyak tiga Task Force ditubuhkan iaitu Task Force Pelancongan, Task Force Jambatan Labuan dan Task Force Pemindahan Penghantaran yang merupakan komitmen untuk mengangkat Labuan ke persada. Pengekalan pengecualian Dasar Cukai Kabotaj pula membolehkan aktiviti ekonomi berkembang sekali gus merancakkan lagi Pelabuhan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas