Berita

Kampung Sungai Bedaun Johan Komuniti Zon Hijau COVID-19

Banting Kampung Sungai Bedaun Hijau COVID-19 dipasang di Perhentian Bas di kawasan kampung itu untuk mempromosikan norma baharu dikalangan warga kampung itu. Banting Kampung Sungai Bedaun Hijau COVID-19 dipasang di
- Diterbit 1 November 2021 6:00 AM MYT
ROSMANI (tengah) bersama frontliners menunjukkan risalah pembudayaan norma baharu dan mempromosikan Sungai Bedaun sebagai Zon Hijau COVID-19.

KAMPUNG Sungai Bedaun di sini, dinobatkan sebagai johan pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 dalam kategori luar bandar peringkat Labuan.

Menerusi kenyataan Perbadanan Labuan (PL), pertandingan tersebut dianjurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Dengan kemenangan itu, Kampung Sungai Bedaun bakal menerima hadiah geran pembangunan projek fizikal yang bernilai RM 50,000.

“Majlis penyampaian hadiah itu akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob pada Majlis Penutupan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang bakal diadakan pada 28 Oktober ini,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Bedaun Rosmani Puteh, berkata kemenangan yang dicapai itu adalah satu rezeki yang tidak dijangkakan kerana hasrat menyertai pertandingan itu berdasarkan sifat tanggungjawab sebagai komuniti yang ingin mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan COVID-19.

Alhamdulillah, dengan kemenangan ini pasti menjadikan satu titik semangat kepada kami serta kampung-kampung lain untuk bersama-sama menyahut saranan daripada pihak kerajaan khususnya mempraktikkan norma baharu dalam mengekang wabak COVID-19,’’ katanya ketika dihubungi Wilayahku, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rosmani turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang memberikan sokongan dan dorongan dalam menjayakan program Komuniti Hijau COVID-19.

“Kemenangan ini tidak akan dicapai tanpa sokongan dan dorongan mereka. Terima kasih juga kepada penduduk kampung yang sentiasa memberi kerjasama yang jitu dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah menjayakan program itu,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas