Berita

Tiket taman tema percuma disediakan

SALAH seorang kakitangan YWP memberi taklimat kepada peniaga di tapak bazar Berjaya Times Square baru-baru ini.
- Diterbit 1 November 2021 6:00 AM MYT

PROGRAM Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota kembali diteruskan seperti biasa bermula November ini sejurus kawasan Lembah Klang iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor beralih dari Fasa 3 kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, program penggalakan usahawan muda kota yang bertempat di Tingkat 4, Berjaya
Times Square Kuala Lumpur ini dijenamakan semula dan dikenali sebagai Program Usahawan Muda Kota Bazar Kreatif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun, selain barangan makanan, kelengkapan diri, hiasan dan sebagainya, kali ini peniaga turut memasarkan produk seni jahitan.

“Pada April lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)  memilih seramai 50 peserta daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) untuk menyertai program Seni Jahitan Kreatif.

“Dengan adanya mereka ini di Berjaya Times Square, maka jualan akan lebih kreatif serta pelbagai
antaranya beg, bekas tisu, pelitup muka jenis kain dan bekas pelitup muka,” ujar beliau.

PESERTA mengisi borang permohonan pada sesi program.

Tambah beliau lagi, bagi menyemarakkan kunjungan pembeli di tapak tersebut, pihak pengurusan bersetuju memberikan satu tiket Taman Tema Berjaya Times Square secara percuma kepada pengunjung.

“Pelanggan yang membeli-belah minimum RM50 di tapak bazar layak menerima satu tiket percuma untuk memasuki taman tema tersebut,” kata beliau kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut tentang usahawan muda kota, Zaizalnizam berharap kesemua peserta menggunakan sebaik mungkin peluang yang diberi untuk menjana kembali ekonomi sekali gus meningkatkan
taraf kehidupan.

“Kebanyakan daripada peniaga adalah mereka yang kehilangan mata pencarian ekoran ketidakstabilan ekonomi global akibat pandemik wabak COVID-19,” ujar beliau.

Dalam masa sama, bagi meringankan beban mereka terlibat (usahawan muda kota), pihak pengurusan bersetuju memberikan pengecualian sewa selama enam bulan bermula November hingga Mei tahun hadapan.

Terdahulu, inisiatif Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota dirangka bersama YWP, DBKL, KWP dan Perbadanan Putrajaya (PPj). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas