Berita

JPV sahkan bekalan ayam dari China, Thailand halal

DVS mengesahkan kesemua loji ayam yang disenaraikan di laman sesawang DVS adalah masih sah untuk mengeksport ke Malaysia. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2021 8:06 AM MYT

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan kesemua 11 loji di Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke negara ini masih sah.

Dalam satu kenyataan, JPV berkata, pihaknya memandang serius video seorang penceramah bebas yang tular di media sosial mendakwa loji ayam di Thailand dan China telah tamat tempoh dan tidak halal. 

Jelas JPV, sembilan loji ayam yang diluluskan bagi mengeksport daging dan keratan ayam di Thailand dan dua di China yang disenaraikan di laman sesawang jabatan masih sah untuk mengeksport produk itu ke Malaysia. 

“Senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport. 

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan. 

“Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand (The Central Islamic Council of Thailand) dan di China (Shandong Halal Certification Services) masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga 31 Disember 2023,” menurut kenyataan itu hari ini.  

JPV turut menasihatkan orang awam supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Veterinar bagi mendapatkan keterangan dan pengesahan perkara-perkara yang berkaitan sahih sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial untuk mengelakkan spekulasi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas