Berita

Hampir 63,000 unit rumah Residensi Wilayah telah di bina

ISMAIL Sabri (tengah) menyerahkan replika kunci kepada penerima Residensi Kuchaimas, petang tadi.
- Diterbit 7 Disember 2021 10:34 AM MYT

SEBANYAK 62,836 unit rumah yang melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 95 buah projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

“Sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah untuk menyediakan sebanyak 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028, dengan sasaran 8,000 unit setahun.

“Saya minta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kuchaimas di ibu negara di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengerusi Eksekutif Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia termasuk warga yang berpendapatan sederhana rendah atau M40.

“Melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini, tumpuan adalah di kawasan pesat membangun walaupun
terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

“Ia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran yang selesa dan kondusif dan apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah tersebut berpatutan dan mampu milik,” katanya.

Ismail berkata, Kerajaan menyambut baik dan amat berterima kasih kerana pihak pemaju kerana berjaya menyediakan rumah mampu milik Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini.

“Saya amat menghargai komitmen dan dedikasi pemaju dalam menjayakan program ini yang membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Residensi Kuchaimas merupakan salah satu projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 ekar.

“Blok bangunan berketinggian 49 tingkat ini, menyediakan 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit.

“Setiap kediaman ini berkeluasan 800 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung,” katanya.

Ujarnya, Residensi Kuchaimas menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3 peratus kaum Bumiputera, 37.4 peratus kaum Cina dan 2.3 peratus kaum India.

“Sudah tentu, dengan keselesaan ini, masyarakat berbilang kaum dalam Keluarga Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

“Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas