Selebriti

Josiah pegang prinsip tidak beli ‘follower’

JOSIAH percaya tuah
- Diterbit 7 November 2019 6:48 AM MYT

Oleh IBNATIE-AZIZA MAT ROFF
Foto ZULFAIZ ZAKARIA
[email protected]

Jika diukur dari segi pembabitannya dalam dunia seni lakonan tanah air, boleh dikatakan jejaka ini bukanlah orang baharu. Dengan pengalamannya hampir sembilan tahun dalam industri, sepatutnya peminat sudah boleh biasa dengan kehadiran watak yang dilakonkan.

Namun tatkala menyebut nama Josiah Hogan, bagaikan tidak ramai yang sedar kewujudannya walaupun bakat seni yang mengalir begitu kuat dalam dirinya.

Biarpun tidak kisah dikenali dalam kalangan penggiat seni mahupun peminat tempatan, bagi Josiah atau nama Islamnya Mohamad Musleh, 33, lebih puas andai dapat mempersembahkan mutu lakonan yang berkualiti.

“Saya tak nak kuantiti tapi kualiti. Itu yang saya pegang dan praktikkan dalam kerjaya sebagai pelakon. Walaupun orang kata saya macam sudah lama dalam bidang lakonan tetapi orang macam masih tak berapa kenal nama Josiah Hogan, saya tidak kisah.

“Ramai artis atau blogger akan beli ‘followers’ namun itu bukanlah cara saya. Memang sekarang orang akan tengok kepada jumlah pengikut dalam laman sosial tetapi itu bukanlah ukuran sebenar kepada kualiti yang dipersembahkan.

“Contohnya ada filem yang mengetengahkan pelakon utama yang mempunyai jutaan pengikut tetapi apabila filem itu ditayangkan di pawagam, jumlah kutipan tidak sampai pun jumlah RM10,000. Jadi di sini, bila beli ‘followers’ tak semestinya filem itu boleh jual.

“Takkan disebabkan ‘followers’, kita nak nilaikan pelakon atas dasar tersebut? Saya belum terdesak untuk membuat sesuatu perkara ‘viral’ untuk membuatkan nama saya dikenali,” ujar jejaka berketurunan Latin yang dilahirkan di Amerika Syarikat dan membesar sepenuhnya di Malaysia ini.

Josiah yang pernah terlibat dalam filem Manisnya Cinta di Cappadoccia dan KL Special Force ini memberitahu, dia percaya pada tuah akan muncul sekiranya bersabar dan teruskan dengan minat yang mendalam terhadap bidang lakonan.

Ujar Josiah lagi, walaupun kurang dikenali, ia bukanlah menjadi satu tekanan buat dirinya kerana optimis kerjaya seninya mampu untuk berkembang walaupun dalam fasa yang agak perlahan.

“Ada sesetengah orang buat perkara yang membuatkan
masyarakat benci kerana itu yang membuatkan dia dikenali dan memperoleh pendapatan. Saya tidak mahu orang pandang dengan cara seperti itu. Biarlah orang pandang dari segi kualiti.

“Contohnya macam saya muat naik tentang filem terbaru saya iaitu KL Vampires, peminat jadi tertunggu-tunggu kerana merekalah pengikut sebenar yang tidak dibeli. Mereka mengikuti perkembangan saya dalam media sosial kerana diri saya yang sebenar.

“Walaupun pihak stesen televisyen tidak pandang perkara itu namun sekurang-kurangnya saya tahu apa yang saya ada ini berkualiti. Mungkin perkara itu menjadi kekurangan buat saya tetapi mana tahu mungkin tahun kesembilan atau pada ke-15, dari situ ia mula berbuah.

“Sebab saya pegang satu saja, pelakon terkenal seperti Datuk Aaron Aziz, duhulu pun bermula dengan agak lama sebelum dia mula popular. Apa yang penting ialah saya cuma kena bersabar,” katanya.

KL Vampires

Tidak pernah mengeluh dengan nasib yang dihadapinya, Josiah yang pernah terbabit sebagai hos untuk program travelog di 8TV dan program bercorak travelog Go Asian ini berpendapat, penerbit di Malaysia sepatutnya lebih memberi fokus kepada jalan cerita yang menarik berbanding perkara lain.

“Sebenarnya cerita yang boleh jual, dia akan balik kepada ‘story line’ yang bagus dan berkualiti. Contoh macam tengok di Neflix. Kadang-kadang tengok barisan pelakon entah siapa-siapa, bukan ada orang kenal pun tapi disebabkan jalan cerita yang menarik, orang akan tonton.

“Jadi kenapa di Malaysia, tidak boleh hendak fokus kepada perkara-perkara seperti itu?,” ujar Josiah.

Josiah yang bakal muncul dengan filem terbaru berjudul KL Vampires pada 14 November ini, memberitahu dia sentiasa mahu mencabar dirinya untuk kepelbagaian watak dalam kerjaya seni lakonannya.

Tertarik dengan watak sebagai ‘vampire’ dan melibatkan babak aksi antara faktor utama dia tertarik membintangi filem yang turut dibintangi Raja Ilya dan Aeril Zafril serta Reen Rahim.

“Watak sebagai Shah, seorang ketua parajurit kepada Ratu Citra Sari (Raja Ilya), saya mendapat tunjuk ajar kareografer dari Indonesia ternyata memberikan banyak ilmu dan pengalaman,” jelas Josiah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas