WK2

132 tahun ‘Lake Garden’

RUANGAN terbuka yang kini menjadi kanopi perdana dan tempat penganjuran pelbagai acara.
- Diterbit 7 November 2019 5:49 AM MYT

Evolusi Taman Botani Perdana

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto Ihsan DBKL

TAMAN Botani Perdana yang dahulunya dikenali sebagai Lake Garden mengalami pelbagai bentuk transformasi. Taman rekreasi di tengah ibu kota ini mengalami fasa pembaharuan sejak ia mula diilhamkan A. R. Venning iaitu seorang Residen British pada tahun 1888.

Difahamkan, Venning mengambil masa 10 tahun untuk meneroka kawasan seluas 70 hektar (173 ekar) di lembah sungai Bras-Bras untuk menanam pokok-pokok hiasan dan pokok-pokok renek.

Hasil kerja beliau itu telah dihargai ketua masyarakat cina, Chow Ah Yeok yang kemudiannya menyumbang 100 batang pokok Michelia Alba dan Sitrus.

Lake Garden bermula dari kerja-kerja mengepam Sungai Bras-Bras membentuk tasik yang kemudiannya dinamakan ‘Sydney Lake’ sempena nama isteri Frank Sweetenham, salah seorang Residen British bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (28 Mac 1850 hingga 11 Jun 1946).

Lokasi baharu dibangunkan itu turut mempunyai rumah kelab (Lake Club) untuk kunjungan komuniti British yang tinggal berhampiran kawasan tasik dan kebanyakannya adalah pegawai kerajaan, pengusaha ladang serta usahawan.

Pada tahun 1975, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak melancarkan imej baharu Lake Garden dan menjenamakannya sebagai Taman Tasik Perdana atau Perdana Lake Garden.

TUN DR. SITI HASMAH (kiri) ketika merasmikan Pesta Bunga di Taman Orkid, Taman Tasik Perdana.

Kawasan tersebut diceriakan pula dengan konsep Taman Orkid. Kemudiannya pada tahun 1993, isteri Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali merasmikan Pesta Bunga di taman berkenaan yang juga merupakan sebahagian daripada Taman Tasik Perdana.

Taman Tasik Perdana bukan hanya menempatkan aktiviti riadah, rekreasi dan trek jogging untuk orang awam malah terdapat juga alatan bersenam di sepanjang jalan tersebut.

Pada tahun 2010, Jemaah Menteri telah mempersetujui cadangan pembangunan semula Taman Tasik Perdana yang bertarikh 10 Februari dan namanya juga ditukar kepada Taman Botani Perdana.

Nama Taman Botani dipilih kerana lokasi berkenaan menyimpan koleksi tumbuhan hidup dan didokumentasikan untuk tujuan kajian saintifik, pemuliharaan, paparan tumbuhan dan pendidikan alam sekitar.

Ekoran cadangan itu, Fasa 1 dilaksanakan bermula tarikh persetujuan itu hingga 2011. Peringkat perancangan bagi fasa ini adalah mengenal pasti visi, misi dan objektif pelaksanaan di samping memperkayakan biodiversiti iaitu menambah koleksi flora.

KEADAAN selepas pembangunan Fasa 1 dilakukan.

Penambahan dilakukan di tepian tasik yang mana spesies yang ditanam adalah Podocarpus Makii, Streblus Asper dan Ficus Retusa selain tiga jenis spesis Cycas iaitu Cycas Revoluta, Cycas Clivicola dan Cycas Rumphii.

Di kawasan lapang pula pelbagai flora ditanam mengikut kawasan dan antara yang ditanam adalah 18 spesies halia (Ginger), 31 spesis (Calathea) dan lima spesies (Mussa) serta 54 batang pokok Geronggang Derum (Brownea Randiceps) yang ditanam di tepi-tepi laluan. Selain itu, 15 koleksi pokok-pokok sempena nama negeri dan tempat di Malaysia turut diletakkan.

PANGGUNG Annivesari yang dinaik taraf untuk persembahan dan
konsert.

Fasa 2 dilaksanakan bermula 2012 hingga 2015 yang melibatkan pembangunan komponen fizikal iaitu pembinaan Kanopi Perdana, pembinaan Bamboo Playhouse, menaik taraf Panggung Anniversari, pembinaan Kompleks Pelawat dan Herbarium.

Untuk Kanopi Perdana, pembinaan dilakukan di dataran terbuka. Konsep keseluruhan reka bentuknya adalah untuk menyesuaikan faktor semula jadi yang terdapat di sekitar Taman Botani. Idea struktur bumbung pula diilhamkan dari kanopi pokok manakala bumbung diambil daripada simbol aliran air tasik. Ia mewujudkan interaksi antara setiap komponen landskap kejur dan lembut.

Bagi Bamboo Playhouse, pembinaan dilakukan di ruangan terbuka. Terletak di sepanjang pinggir tasik, pembinaannya merupakan struktur terbuka dengan platform bertingkat. Inspirasi bermula dari struktur vernakular tradisional yang disebut ‘wakaf’. Struktur ini pada asasnya adalah tempat teduhan yang digunakan sebagai tempat untuk berehat.

Kompleks pelawat pula menempatkan sebuah kedai komik dan cenderamata untuk pelawat manakala Linear Plaza dijadikan sebagai lokasi penganjuran majlis. Herbarium pula menempatkan galeri awam, bilik persiapan, bilik pameran, karpologi dan spirit room, bilik kimia, perpustakaan mini, mobile compacter dan pejabat.

Selain itu, Herbarium turut menyimpan koleksi tumbuhan berbunga dan berbuah dari Taman Botani Perdana serta kawasan hutan di Semenanjung Malaysia. Semua pengumpulan data taksonomi telah direkodkan dalam pangkalan data BRAHMS (Penyelidikan Botani dan Sistem Pengurusan Herbarium). Sebanyak 3,000 spesimen telah dikurasikan.

Bermula 2016 hingga 2020, Fasa 3 cadangan pembangunan Taman Botani dilaksanakan. Bagi fasa ini, pengurusan dan program yang merangkumi konservasi, penyelidikan, pendidikan alam sekitar, program yang dianjurkan di Taman Botani dan jaringan kerjasama diberi fokus utama.

Tumpuan diberikan kepada konservasi spesies yang sedia ada dan penambahan koleksi spesies baru seperti Arboretum, Heliconia, Buluh, Ferns, Pokok Nadir, pokok untuk Edible Garden, Cycas, Palma dan Zingiberales. Pengurusan nurseri-nurseri (Nurseri koleksi umum, koleksi herba, orkid, bunga raya dan edible).

Pembangunan kawasan Arboretum dilakukan dengan 120 pokok daripada 14 famili dan 41 spesies baru ditanam. Dengan itu, secara keseluruhan, terdapat 600 spesies tumbuhan di Taman Botani Perdana dengan 274 daripadanya terdiri daripada pokok besar.

PELAN lokasi.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Taman Etnobotani yang dibangunkan dalam fasa dua menghimpunkan koleksi tumbuhan yang mempunyai hubungan dengan manusia termasuk bagi perubatan, sumber makanan, ekonomi dan kebudayaan.

“Pada tahun ini, kita memasuki fasa tiga dengan menaik taraf Taman Orkid dan membangunkan Taman Bunga Raya, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2022,” katanya.

Nor Hisham memberitahu, sehingga kini, kos kerja naik taraf Taman Botani Perdana adalah kira-kira RM80 juta dan pihaknya juga bercadang untuk menaik taraf taman rekreasi lain di ibu negara pada tahun depan.

Katanya, kini, Taman Botani Perdana telah berkeluasan 101.12 hektar dan lebih besar berbanding sebelumnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas