Berita

JAWI siasat ajaran Hadi Minallah

|
- Diterbit 8 Ogos 2022 8:56 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan memantau dan menyiasat aktiviti kumpulan ajaran Hadi Minallah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata siasatan dan tindakan terhadap ajaran sesat itu dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam haruslah dibanteras habis-habisan.

“Umat Islam disarankan agar sentiasa merujuk kepada autoriti agama bagi mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan dari segi akidah, syariah dan pemikiran yang memesongkan akidah serta menjauhkan diri dari sebarang kegiatan yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baru-baru ini, tular sebuah rakaman video yang memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab serba putih memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran tersebut dalam sebuah majlis konvokesyen yang dipercayai diadakan di sebuah hotel di Pulau Langkawi.

Pertubuhan itu dikatakan berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas