Berita

DBKL laksana pelbagai inisiatif tangani banjir kilat, kenal pasti pokok besar berisiko tumbang sekitar ibu negara

||||||
- Diterbit 8 Ogos 2022 7:54 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk tindakan khas dalam tempoh interim bagi tujuan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur dengan segera mengikut Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata antara tindakan serta-merta yang telah diambil di kawasan yang terlibat dengan banjir kilat ialah melaksanakan kerja pengorekan memastikan kelancaran air ke lubang saluran air ke longkang.

“Selain itu, DBKL juga melaksanakan kerja pengorekan kelodak kolam takungan banjir dan penyelenggaraan sungai dan parit induk turut dilaksanakan dan guni-guni pasir juga telah dipasang di kawasan rendah limpahan air sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan dikemukakan oleh Senator Muhammad Zahid Md Arip di Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Shahdian, DBKL turut menempatkan petugas lebih 400 sukarelawan berdaftar dan jentera trak penunda serta 100 Warden Trafik DBKL untuk mempertingkatkan kawalan dan penyuraian trafik di kawasan titik panas (hot spot) banjir kilat dengan kerjasama Polis Trafik Kuala Lumpur.

“Selain itu, DBKL telah dan akan melaksanakan pelbagai projek mitigasi banjir merangkumi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang, berdasarkan keperluan dan kesesuaian di lokasi-lokasi titik panas banjir yang telah dikenal pasti dan juga berdasarkan cadangan langkah mitigasi banjir yang dicadangkan oleh pihak perunding mengikut Pelan Induk Saliran dan Pengurusan Air Hujan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata untuk mengatasi masalah pokok tumbang, DBKL telah melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan cantasan pokok secara berkala bagi mengenal pasti pokok yang berisiko dan bermasalah.

“Penyelenggaraan secara berkala ini dilakukan dengan pemantauan arboris bertauliah mengikut pusingan penyelenggaraan berdasarkan kawasan parlimen.

“DBKL juga ada membuat penilaian pokok berisiko tahap 3 pada pokok besar yang telah dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur dengan menggunakan alatan khas, iaitu Resistograph, dengan izin, untuk menentukan tahap pereputan kayu pada pokok,” katanya.

Katanya, sebanyak 85 pokok daripada sejumlah 900 pokok di pusat bandar telah dikenal pasti bermasalah melalui penilaian tahap 3 ini.

“Pokok besar yang dikenal pasti bermasalah ini telah ditebang dengan segera bagi mengelakkan kemalangan dan risiko pada orang awam. Pemeriksaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti pokok yang berisiko di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

“Pokok-pokok yang ditebang ini akan digantikan dengan pokok lain bergantung kepada keluasan ruang penanaman dan jika keluasan ruang penanaman tidak sesuai untuk ditanam pokok, ianya akan digantikan dengan tumbuhan renek,” katanya.

Tambahnya, perancangan penanaman semula pokok di pusat bandar Kuala Lumpur dibuat berdasarkan Garis Panduan Pelan Pengurusan Pokok Rendang Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas