Berita

KWP peruntuk subsidi RM581,000 untuk Program Jualan MyGrocer@Wilayah

||||||
- Diterbit 9 Ogos 2022 4:36 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan sebanyak RM581,000 sebulan melalui Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah bagi membantu warga kota menghadapi kos sara hidup yang meningkat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata program yang diadakan satu kali seminggu itu akan menjual barangan makanan di bawah harga pasaran melalui penyediaan jualan ayam dan telur ayam dengan pemberian subsidi.

“KWP memberikan kadar subsidi bersasar sebanyak RM3.00 bagi pembelian seekor ayam (Super) manakala RM0.50 subsidi bagi 10 biji telur ayam.

“Pemberian subsidi ini akan memanfaatkan seramai 147,000 penduduk yang tinggal di 61 Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai usaha KWP dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi di bandar raya pada sesi Jawab Lisan Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Shahidan, sejak diperkenalkan pada 14 Julai sehingga 5 Ogos lalu, seramai 63,296 penerima manfaat telah menikmati subsidi ayam segar dan telur ayam di Kuala Lumpur dengan nilai subsidi yang telah dibiayai oleh KWP sebanyak RM221,536.

Katanya, pembekal-pembekal di bawah program ini juga menjual barangan keperluan asas seperti ikan, daging, sayur-sayuran dan barangan makanan kering seperti gula, tepung dan minyak masak dengan kadar lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding pasar awam berdekatan kepada penduduk, khususnya di PPR dan PA di Kuala Lumpur tanpa melibatkan subsidi daripada KWP.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah di Labuan dilaksanakan melalui peruncit-peruncit yang telah dikenal pasti oleh Perbadanan Labuan bagi memudahkan pemberian subsidi serta aksesibiliti kepada kumpulan sasar.

“Pemberian subsidi ini dijangka memanfaatkan seramai 15,000 penduduk di Labuan dan mulai 15 Ogos ini, KWP akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia selaras dengan arahan dan keputusan Jawatankuasa Jihad Menangani Inflasi.

“Melalui program ini, penduduk di PPR/PA bakal mendapat manfaat dari jualan murah sebanyak dua kali seminggu yang bakal dilaksanakan kelak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas