Berita

Jangan prejudis, bersikap negatif kepada peniaga kecil – Annuar

TAN SRI TPr ANNUAR MUSA
- Diterbit 12 November 2020 9:52 AM MYT

GOLONGAN ‘peniaga atasan’, peruncit dan persatuan-persatuan perniagaan diseru untuk tidak bersikap negatif sebaliknya memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang ingin menjana pendapatan melalui jualan kecil-kecilan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Ini kerana, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, keputusan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama enam bulan bermula Ahad ini sudah dibincangkan di peringkat kementerian bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Presiden Perbadanan selain tidak melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan.

Justeru, ujar beliau, peruncit atau persatuan sepatutnya memikirkan nasib orang kecil yang lain kerana langkah yang diambil itu adalah bersifat sementara dan terkawal.

“Ada sesetengah pihak mentafsirkan ia seolah-olah langkah yang tidak berfikir panjang, buruk untuk Kuala Lumpur kerana katanya tikus akan merayau atau akan berlaku kesesakan serta kekotoran.

“Saya harap mereka ini ubah sikap, jangan terlalu memikirkan hanya soal kita. Saya tahu mereka juga susah, saya ada ramai kawan termasuk di dalam Persatuan Peruncit Malaysia yang memberi maklum balas, tetapi jangan kita salah faham dengan peniaga kecil dan memandag sepi pada orang kecil,” katanya dalam sesi LIVE Facebook hari ini.

Jelas Annuar, beliau tidak menafikan peniaga di gedung besar mahupun peruncit turut terjejas namun keadaan tidak setanding golongan yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan secara tiba-tiba.

Malah, katanya, kerajaan tidak mampu mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu mereka yang terkesan pada masa ini manakala syarikat swasta pula terpaksa mengecilkan pengambilan kakitangan.

Justeru, ujar beliau, pihaknya melihat bahawa peluang perniagaan kecil-kecilan dapat membantu golongan tersebut mencari rezeki dan usaha berkenaan perlu dipermudahkan secara berperingkat-peringkat.

“Namun bila saya kata bebas berniaga, ia bukan bermakna semua orang boleh buat sesuka hati tanpa mengikut peraturan mahupun prosedur operasi standard (SOP) seolah-olah tiada undang-undang. Mereka masih perlu memohon lesen dan lesen sementara akan dikeluarkan secara percuma malah butiran mereka juga direkodkan.

“Jangan pandang peniaga kecil sebagai kelompok kedua,” tegas beliau yang turut yakin rakyat faham dan akan memberi kerjasama sebaiknya.

Annuar sebelum ini mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama enam bulan bermula Ahad ini.

Ia adalah inisiatif kementerian untuk membantu golongan yang terkesan kerana COVID-19 namun harus mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan PBT. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas