Artikel

P. Ramlee di mata sasterawan

PUSTAKA Peringatan PRamlee satu ketika dahulu merupakan rumah miliknya. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 April 2024 4:52 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

Hujan resah Jalan Ampas
bunga bunga lalang terliuh lelah
langit pedih dan lara
dengan bercapal baju kurang kain
rambut pancing di dahi disorongnya buah dam antara adegan-adegan patah
kita sangka begitu mudah ia kalah dan dilupakan.

Demikianlah kias resah yang lara Sasterawan Negara A. Samad Said dalam puisi Lagu Bunga II (1986) yang ditulis khusus bagi mengenang kepulangan seniman kebanggaan negara, P Ramlee. Puisi itu pertama kali dideklamasikan oleh Pak Samad sempena pelancaran Pustaka Peringatan P Ramlee di Taman P Ramlee, Kuala Lumpur pada 23 Mac 1986.

Kata Pak Samad lagi dalam Lagu Bunga II, ‘Masih ramai tak terteka / apakah perginya jenaka yang tragis / atau tragedi yang jenaka atau / saling berbalah keduanya.’

Kemudian dilanjutkan dengan memujuk diri, ‘Tapi Alhamdulillah ia bukan insan seni penyulap harta negara / ia bekalkan pusaka yang lebih berharga / bermaruah bagi bangsanya.’

Demikian cara sasterawan mengenang seorang teman yang bukan sahaja akrab tetapi masa yang sama memberikan sumbangan pemikiran yang besar kepada masyarakat dan negara. Di Pustaka Peringatan P Ramlee, teman-teman, sasterawan yang lama juga baharu mengenang dengan kata dan diksi.

Ternyata puisi bukan sebuah pamflet yang maksudnya terus terang selapis dan tiada kehalusan yang boleh kekal lama di ingatan. Puisi mengangkat segala kekaguman dan rasa kehilangan yang berlapis-lapis mengikut tahap kefahaman khalayak.

Pustaka itu dulunya sebuah rumah milik P Ramlee yang dihuni bersama keluarga hingga akhirnya. Kemudian pada tahun 1986 dibaik pulih dan dinaik taraf sebagai sebuah pustaka peringatan yang mempamerkan barang peribadi, trofi, alat muzik dan segala yang berkaitan dengan seniman besar itu.

Pada malam yang hujannya renyai dan dingin sejak selepas senja itu bergema suara sasterawan yang silih berganti mendeklamasikan puisi. Selain Pak Samad, beberapa sasterawan termasuk Sasterawan Negara Usman Awang, Dr Firdaus Abdullah, Pyanhabib dan Zahari Hasib turut mendeklamasikan puisi.

Malam itu Taman Derdap yang kemudiannya dinamakan Taman P Ramlee itu menjadi tumpuan ramai. Sepi yang tesingkap dalam puisi-puisi bagai membuka dimensi baharu apresiasi sasterawan kepada seniman filem.

Apa lagi muzik instrumental lagu Di Manakan Ku Cari Ganti berkumandang sayup-sayup melatari deklamasi puisi, terasa ada kehilangan sebelum keberangkatannya yang abadi. P Ramlee seperti terbuang semasa di Kuala Lumpur.

Malam itu ada juga puisi yang ditulis oleh penyair muda yang tidak mengenali P Ramlee dari dekat. Tetapi daripada penghayatan terhadap karya-karya yang diulang tayang di televisyen, mereka ada tanggapan yang tersendiri terhadap seniman itu.

Sebelum itu yang banyak memperkatakan tentang P Ramlee adalah kalangan rakan artis, kenalan dan wartawan. Tetapi melihat P Ramlee dari siratan bahasa atau metafora yang penuh kias ialah suatu yang lebih mempesona.

Usman Awang menurunkan rasa kehilangan dalam puisi yang ditulis beberapa hari selepas pemergian P Ramlee 29 Mei 1973. Puisi Arca Abadi yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran Jun 1973 itu menyingkap pilu seorang sasterawan menerima berita duka perginya seorang rakan seniman.

‘Kini tanah Ampang laksana pelabuhan / sepi kerana kapal telah bertolak / alun sendu bergelombang di teluk hati yang kasih / dan nanti riaknya bakal mengecil jua di samudera waktu.’ (Usman Awang – Arca Abadi)

Puisi P Ramlee Dalam Ingatan karya Dr Firdaus Abdullah pula menyingkap, ‘Dengan penuh kelucuan dan pelbagai telatah / diejeknya ragam-ragam hidup dengan segala kontradiksi / lalu semua tersenyum dan tertawa / tetapi tidak ramai yang menyedari / dia mengajar kita mentertawakan diri sendiri.’

Penyair Pyanhabib yang sudah dikenali ramai ketika itu mendeklamasikan puisi Getus (Elegi buat P Ramlee). Tulis Pyanhabib, ‘Telah terkumpul kembali / setiap cebisan surat-surat cinta / yang tercicir di balik pintu / yang terhakis di anak tangga /untuk nanti diadun lagi / setiap irama dan lagu /pada buku telah bernama.’

Semasa menulis puisi ini tahun 1984, Pyanhabib adalah wartawan majalah Mastika yang mengenali P Ramlee di kaca televisyen. Dalam usia awal 20-an waktu itu, Pyanhabib juga adalah pelakon filem Kembara Seniman Jalanan (1986) arahan Nasir Jani.

Penyair keturunan Siam, Suwanlerd Pro Poul semacam kecewa apabila P Ramlee melalui musim-musim suram, seperti tidak dipedulikan sejak berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur hingga akhir hayatnya. Suwanlerd melukiskan kesuraman dan kelesuan daripada kemilau Jalan Ampas dengan nada yang cukup tragis.

Tulis Swanlerd, ‘Setibanya aku / bunga-bunga harum telah layu / daun-daun rimbun telah gugur / musim usia berganti pantas / seperti segala telah ditetapkan begitu.’

‘Di sini / di hadapan segala kian mencabar /gerak laku suara merdumu / terus mendayu / maafkanlah / andainya tiba saat itu / lagu merdumu tak dapat kumainkan lagi / potret kakumu dipenuhi debu.’

Penyair Zahari Hasib dalam puisi Jika Kau Masih Ingat mengembalikan nostalgia manis 16 Julai 1972 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya. Ketika itu Zahari menjadi pegawai keselamatan Universiti Malaya.

Tulis Zahari, ‘Jika kau masih ingat / maka akulah / yang telah mengambil bangku / untuk kau duduk pada malam itu / malam Baktisiswa 16 Julai 72.’

Zahari mengakhiri puisinya dengan, ‘P Ramlee / sebaik sahaja berita itu / kuterima dari Utusan Melayu / maka akulah peminat / yang paling banyak menyimpan sedih dan dukacita.’

Acara deklamasi puisi di Pustaka Peringatan P Ramlee malam itu sebenarnya membawa suatu yang menarik – wujud hubungan akrab antara karyawan filem dengan sasterawan. Hal itu penting supaya filem yang dihasilkan tidak terlepas daripada rasa yang insani.

Ketika era kegemilangan filem Melayu, hubungan timbal balik antara karyawan filem dan sasterawan adalah sangat baik. Malah banyak filem Melayu dibangunkan dengan kekuatan sastera oleh karyawan yang jinak dengan karya-karya kesusasteraan.

Bagaimanapun hal yang seperti itu agak kurang berlaku dalam kalangan karyawan filem masa kini. Malah terdapat segelintir karyawan filem langsung tidak mendekati karya kesusasteraan dan acara-acara sastera. Padahal filem boleh menjadi lebih kukuh sekiranya ada pasak sastera yang terbina dalamnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas