Berita

EMPAT DARA Versi Faizal Tahir, Kak Lina Pom Pom & Zizi Kirana…Memang Meletop!

Faizal Tahir dan Elly Mazlein terus menjadi siulan ramai|VIDEO muzik Empat Dara 2020 membawa konsep komedi ringan.
- Diterbit 12 November 2020 9:49 PM MYT

SEMAKIN menjadi siulan di kalangan peminat sampai teringat-ingat ke mana sahaja pergi. 

Begitulah penangan lagu Empat Dara 2020 yang dinyanyikan semula oleh Faizal Tahir, Elly Mazlein yang lebih dikenali sebagai Kak Liba Pom Pom dan Zizi Kirana.

Semua ini tercetus apabila Elly Mazlein mencuri perhatian peminat dengan memuat naik sepotong rakaman video menyanyikan lagu tradisional Empat Dara di laman Instagram beliau. 

EMPAT Dara 2020 nyanyian Zizi Kirana, Faizal Tahir dan Elly Mazlein terus menjadi siulan ramai

Elly turut mencabar warganet untuk menyanyikan semula lagu terbabit mengikut versinya dan menawarkan wang saguhati RM100 bagi video terbaik. 

Cabaran Elly itu turut mendapat reaksi daripada rakan-rakan selebriti yang turut merakamkan semula lagu Empat Dara dalam versi tersendiri.

VIDEO muzik Empat Dara 2020 membawa konsep komedi ringan.

Antaranya adalah Datuk Aznil Nawawi, Achey, Acong Sweetchild, Datuk Fizz Fairuz, Shiha Zikir, Azza Elite dan Ezad Lazim. Video tersebut kini menghampiri 2 juta tontonan dan lebih dari 200,000 komen. 

“Tak sangka ia mendapat perhatian sampai macam tu sekali, niat saya cuma satu, saya nak buat orang gembira. Bila orang lain gembira, saya turut tumpang gembira.” kata Elly selepas video asal tersebut menjadi tular.

Tidak terlepas dari menyahut carbaran tersebut adalah penyanyi dan komposer, Faizal Tahir yang memuat naik sedutan dari persembahan beliau di salah sebuah rancangan televisyen

Klip tersebut turut mendapat perhatian warganet yang rata-rata mahukan Elly dan Faizal menyanyikan semula lagu tersebut. 

Sehubungan dengan itu, syarikat rakaman Faithful Music telah merialisasikan permintaan tersebut dengan menerbitkan semula EMPAT DARA 2020. 

Bagi menambah rencah, Zizi Kirana turut sama terbabit dengan menyumbangkan suara serta terlibat dalam video muzik (MV) lagu ini.

“Tak sangka pula Faizal Tahir melayangkan tawaran untuk bekerjasama dengan Elly. Faizal memberitahu, kerjasama ini disifatkan sebagai projek gila-gila dan saya tak fikir dua kali untuk menerima tawaran ini.” kata Zizi Kirana. 

Faizal Tahir pula menjawab ringkas bila ditanya tentang kolaborasi dan versi terbaru ini “Dia (Elly) mintak masuk, kita masuk lah!”

Selari dengan tajuknya, EMPAT DARA 2020 bakal memberikan nafas baru dan sesuatu yang segar kepada pendengar tanpa menghilangkan elemen tradisional pada lagu tersebut. Video muziknya juga simple dengan membawa konsep komedi yang ringan. 

Empat Dara adalah karya asal oleh Atan Ahmad dan Ahmad Jusoh manakala versi terbaru ini mendapat sentuhan bersama Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Mambang. 

Empat Dara 2020 adalah terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Lagu ini sudah berada di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes pada 11 November 2020 manakala video muzik rasmi Empat Dara 2020 juga boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir pada tarikh yang sama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas