Artikel

Jangan dijual beli lesen bazar Ramadan

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberi amaran keras, lesen berniaga hanya untuk peniaga yang namanya tertera di atas lesen, tidak boleh dijual atau pindah milik kepada orang lain.
- Diterbit 27 Mac 2022 12:00 PM MYT

BULAN Ramadan menjengah kembali. Insya-Allah umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada hari Ahad 3 April. Memang pantas masa berlalu. Rasanya baharu sahaja berpuasa dan berhari raya, kini ia datang kembali.

Bulan Ramadan bulan mulia bukan sahaja dinantikan oleh seluruh umat Islam, tetapi turut dinantikan oleh golongan peniaga dan penjaja di ketigatiga Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada bulan ini mereka berpeluang mencari rezeki untuk menambah sumber pendapatan dengan berniaga di bazar Ramadan. Pulangannya kerap kali begitu memuaskan, melebihi pendapatan berniaga pada hari-hari biasa.

Ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) akibat COVID-19, tradisi tahunan ini terhenti. Apakan daya, dalam suasana pandemik COVID-19, keselamatan orang ramai lebih diutamakan.

Alhamdulillah tahun ini bazar Ramadan kembali beroperasi. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sudah memberi jaminan tiada lagi PKP akan dilaksanakan, tiada lagi sektor ekonomi ditutup. Pasar Ramadan juga akan kembali.

Sehubungan itu bermakna tahun ini insya-Allah semua akan berpeluang menyambut hari raya dalam keadaan lebih bebas. Yang rindu menyambut Aidilfitri di desa boleh balik ke kampung halaman masing-masing setelah dua musim hari raya hanya disambut di rumah bersama kaum keluarga sendiri.

Setiap tahun permohonan mendapatkan lesen berniaga bazar Ramadan kian bertambah. Sambutan memang menggalakkan. Malah sering kali permintaan lebih jauh daripada jumlah lesen yang ditawarkan. Kerana itu ramai yang kecewa gagal memperoleh lesen.

Adi percaya keadaan sama berlaku tahun ini. Pasti ramai akan bersaing mendapatkan lesen bagi menjual sama ada barangan makanan dan minuman untuk juadah berbuka puasa atau keperluan lain seperti kuih-muih dan pakaian sebagai persiapan hari raya.

Ramai yang terjejas akibat pandemik COVID-19 juga mencuba nasib. Untuk itu mungkin pihak berkuasa tempatan, misalnya DBKL di Kuala Lumpur, boleh menambah jumlah tapak bazar di kawasan tertentu agar lebih ramai berpeluang berniaga atau membuka lebih banyak tapak bazar.

Sememangnya perniagaan dalam tempoh sebulan, walau pun hanya sekali dalam setahun, menjanjikan pulangan lumayan, tambahan di bazar popular seperti di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Baru yang sejak dahulu sudah sinonim dengan orang ramai.

Namun satu perkara tidak menyenangkan kerap kali berlaku setiap tahun ialah kegiatan mencari untung atas angin oleh segelintir pemohon.

Setelah berjaya memperoleh lesen, mereka menyewakan atau menjual lesen kepada orang lain. Senang, tidak perlu bersusah payah tetapi duit tetap masuk.

Perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab dan menjejaskan peluang mereka yang benar-benar jujur ingin berniaga.

Ini biasanya berlaku apabila ada orang perseorangan, atau orang tengah dan kartel bersikap tamak mengaut lesen dan menyewakannya dengan harga ribuan ringgit kepada peniaga.

Peniaga pula sedia membayar kerana ingin berniaga. Begitu tinggi jumlah yang terpaksa mereka bayar sementara yang menyewakan berpeluk tubuh mengaut wang.

Namun awas pada tahun ini. Ingatan kepada mereka yang ingin memohon lesen.

Permohonan dipantau dengan teliti untuk memastikan hanya pemohon yang layak diberi lesen. Mereka juga mesti mengusahakan sendiri gerai di tapak bazar. Jangan sekali-kali cuba menjual atau menyewakan lesen kepada orang lain.

Pihak berkuasa seperti Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan kegiatan menyewa atas angin ini dibendung daripada berterusan.

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Beliau mahu kegiatan orang tengah dibanteras dengan membuka seluas-luasnya peluang memohon lesen kepada peniaga yang layak. Dengan itu lebih ramai mereka yang jujur untuk berniaga akan mendapat peluang.

Bagaimanapun mereka ini mestilah benar-benar serius dan ikhlas untuk berniaga, bukan ada muslihat memperoleh lesen dengan niat untuk menyewakan.

Menyedari kemungkinan seperti ini mungkin masih akan berlaku, Shahidan memberi amaran keras, lesen berniaga hanya untuk peniaga yang namanya tertera di atas lesen, tidak boleh dijual atau pindah milik kepada orang lain.

Jika ingkar, tindakan undangundang akan diambil terhadap mereka yang didapati menjual lesen untuk mencari keuntungan segera. Jangan menyesal nanti jika ini menimpa peniaga yang tidak amanah.

Langkah tegas ini pada hemat Adi, mampu menutup ruang kepada orang perseorangan atau orang tengah mengaut dan kemudian menjual lesen.

Sasaran utama untuk membantu peniaga di Wilayah Persekutuan, terutama yang terjejas pendapatan akibat COVID-19, mesti dicapai.

Sehubungan itu, Adi ingin syorkan kepada pihak berkuasa seperti DBKL melakukan pemantauan berterusan di bazar Ramadan. Sesiapa yang didapati tidak mengusahakan sendiri bazar, tarik balik lesen mereka serta-merta. Berikan kepada yang memerlukan dan masih dalam senarai menunggu.

Tindakan tegas ini wajar sebagai pengajaran kepada mereka yang menyalahgunakan kemudahan diberi, di samping ingatan kepada yang lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Dalam pada itu Adi ingin mengingatkan peniaga bazar dan orang ramai, walaupun Malaysia memasuki fasa endemik COVID-19 mulai 1 April, prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka masih berkuat kuasa.

Oleh itu patuhilah SOP demi keselamatan peniaga dan pengunjung bazar. Jangan sampai bazar Ramadan menjadi lokasi jangkitan COVID-19. Nanti wujud pula ‘kluster bazar Ramadan’ sehingga bazar ditutup.

Pergilah sekadar waktu singkat serta membeli mana yang perlu. Selepas itu segeralah kembali ke rumah.

Jangan rambang mata. Semakin singkat di bazar, semakin kecil peluang untuk dijangkiti atau menyebar COVID-19 kepada orang lain.

Kepada mereka yang berjual kuih muih dan makanan berbuka puasa, pastikan makanan dimasak segar, bersih, enak dan selamat dimakan.

Memang diketahui bazar Ramadan pilihan utama orang ramai mencari makanan dan minuman untuk berbuka puasa selepas penat bekerja.

Tambahan banyak pilihan terdapat di sana. Bazar popular seperti Jalan Raja Alang, Wangsa Maju, adalah antara yang menjadi tumpuan di ibu kota.

Bagi yang menjual kuih-muih atau biskut raya, atau menjual pakaian raya, pastikan semua barangan yang dijual juga berkualiti.

Jangan mengambil kesempatan daripada ramai pengunjung untuk menjual barangan ‘tangkap muat’.

Bahan jualan mesti bagus dan memenuhi cita rasa pengunjung. Jika tidak, maka sekali sahajalah pengunjung datang. Selepas itu mereka akan hanya lalu di depan gerai tanpa singgah. Sedih kan! Negara sedang melalui perubahan monsun sejak Februari lalu dijangka hingga Mei tahun ini.

Kerana itu berhati-hatilah berniaga atau membeli dalam suasana hujan dan ribut petir kini. Jangan sampai peniaga dan pengunjung ditimpa kesusahan.

Adi — Sekali sekala ke bazar – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas