Agama

Fitnah wanita akhir zaman

FITNAH wanita adalah fitnah yang paling besar kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.
- Diterbit 3 April 2022 7:02 AM MYT

ADAKAH kecantikan wanita merupakan fitnah kepada lelaki?

Kecantikan merupakan lumrah bagi seorang wanita. Disebabkan kecantikan juga seseorang lelaki tertarik kepada wanita untuk menjadikannya isteri.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.” (Surah Ali-Imran ayat 14) Allah SWT mencipta setiap makhluk itu secara berpasangpasangan seperti lelaki dan wanita, siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya. Akan tetapi, Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhluk yang paling sempurna kerana dikurniakan akal fikiran.

Kerana kecantikan juga timbulnya pelbagai fitnah daripada wanita sehingga menyebabkan jatuhnya martabat wanita dalam kehidupan manusia.

Fitnah wanita adalah fitnah yang paling besar kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.

Baginda Nabi SAW bersabda: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” (Hadis Riwayat Al Bukhari)

Mengapakah wanita boleh terjatuh ke dalam fitnah ini?

Kehidupan manusia akhir zaman, khususnya wanita semakin lama semakin berubah sehingga mengenepikan syariat agama yang ditetapkan, bahkan lebih mengutamakan fesyen dan kecantikan yang ternyata telah keluar daripada adab dan tatasusila yang diterapkan oleh Islam.

Ramai wanita di luar sana mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup.

Perkara ini telah mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan pelbagai jenis fesyen terkini yang tampak jelas mutakhir ini.

Situasi ini dinyatakan oleh Baginda SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang-orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu-pintu masjid.

Wanita-wanita mereka berpakaian tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita-wanita terlaknat.

Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat-umat lain, nescaya wanita-wanita kamu akan melayani wanita-wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita-wanita bangsa-bangsa sebelum kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakan pasti akan menarik mata (lelaki) untuk melihatnya.

Perkara ini dilihat menjadi tren terkini khususnya wanita yang bekerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing.

Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam, maka tiada apa yang ingin digusarkan. Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas, perkara ini ditegah oleh Nabi SAW.

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita berpakaian tetapi terlanjang?

Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab al-halal wa al-haram fi al-Islam menjelaskan, wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebagaimana sabda Nabi SAW merujuk kepada pakaian yang dipakai wanita tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka. Antara ciri-ciri pakaian tersebut ialah; nipis, ketat, singkat, menampakkan bahagian utama badan wanita dan lain-lain.

Ada pula pandangan yang mengatakan mereka yang mengenakan pakaian tetapi telanjang bermaksud tudung yang dipakai hanya dililit pada leher sahaja dan pakaian yang dikenakan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh wanita tersebut. Disebabkan kelakuan tersebut, golongan wanita ini akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Nabi SAW menjelaskan beberapa sifat wanita antaranya berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan rambut umpama bonggol unta.

Kenyataan Baginda Nabi SAW ini menggambarkan situasi yang sedang berlaku hari ini, seakanakan Baginda dapat melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pada hari ini, banyak tempat yang digunakan untuk menghias dan melakukan fesyen pada rambut dengan pelbagai gaya dan bentuk. Ada sesetengah salun kecantikan yang bercampur antara lelaki dan wanita.

Walaupun terdapat sekatan atau halangan yang dibuat, namun bagi pekerja lelaki, mereka masih lagi boleh melihat rambut yang merupakan aurat bagi wanita.

Justeru, fitnah wanita ini adalah gambaran daripada Baginda Nabi SAW kepada manusia akhir zaman yang melihat kepada wanita dengan pandangan yang sangsi dan merosakkan.

Dalam masa sama, gambaran ini merujuk kepada wanita yang tidak mempedulikan maruah diri sehingga menyebabkan terjatuhnya lelaki ke dalam fitnah wanita apabila memandangnya.

Bagaimanapun, sebaik-baik wanita ialah yang bertakwa dan menjaga maruah diri daripada terjatuh ke dalam jurang fitnah yang membinasakan.

Penulis Pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas