Agama

Ramadan fasa endemik sepatutnya bawa perubahan

RAMADAN kali ini boleh diperbaiki dengan menghidupkan sepenuhnya hari-hari dengan pesta ibadah seperti solat terawih, iktikaf mahupun qiamullail.
- Diterbit 27 Mac 2022 7:30 AM MYT

TEPAT 1 April 2022, negara bakal memasuki ke fasa peralihan endemik. Pengumuman yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri sangat mengujakan kesemua lapisan masyarakat.

Hanya satu sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan, di samping sembilan garis panduan yang akan ditetapkan nanti.

Antara perkara yang ditunggu-tunggu oleh penganut beragama terutama Muslim dalam tempoh hampir dua tahun pandemik ialah kehidupan normal di masjid atau surau. Kesempurnaan pelaksanaan solat dapat didirikan tanpa lagi ada penjarakan fizikal.

Walau bagaimanapun, beberapa hari lagi kita akan menjengah ke bulan Ramadan. Persoalan utama yang bermain di minda bagaimanakah keadaan Ramadan yang bakal dilalui tidak lama lagi?

Adakah pesta adat akan diteruskan kembali atau dihidupkan semula, bahkan lebih meriah lagi setelah lama tidak dikecapi sebebasnya? Atau Ramadan dihayati dengan jiwa yang baharu bersesuaian perubahan landskap kehidupan?

TRANSFORMASI DIRI PASCA PANDEMIK

ALHAMDULILLAH, setakat saat ini varian COVID-19 yang ada tidak lagi menjadi penghalang untuk kita kembali kepada suasana normal. Namun, persoalan yang perlu kita bermuhasabah bersama, adakah semua keadaan kehidupan normal sebelum ini perlu dikembalikan semula?

Maka, skrip jawapan adalah semestinya tidak. Namun, hati manusia yang bersifat bolak balik menyebabkan kita mungkin berubah ke takuk yang lama. Walhal antara hikmah besar yang kita peroleh dengan kehadiran COVID-19 ialah kita sebenarnya mampu dan berupaya untuk keluar dari kepompong adat lama yang membantut perkembangan serta perubahan dalam diri.

Ungkapan ‘hari ini lebih baik dari semalam’ sukar untuk diterjemahkan dalam kehidupan. Azam serta kesungguhan perlu diterapkan bagi memastikan perubahan berjaya dilakukan. Cabaran anjakan paradigma diisyaratkan oleh Ibnu Athoillah al-Sakandari yang bermaksud “Bagaimana perkara luar kebiasaan hendak berlaku terhadap engkau kerana engkau sendiri tidak menjadi luar daripada kebiasaan”.

Ujian demi ujian dan pelbagai tanda akhir zaman seperti wabak, banjir dan lain-lain menuntut kita untuk melakukan pengislahan seterusnya mencipta kebiasaan baharu dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hakikat puasa menatijahkan ketaqwaan, bukan sekadar menuruti titah perintah Allah SWT.

NORMALISASI ADAT YANG BAHARU

KETIKA berlakunya pandemik, praktikal ibadah secara berjemaah mempunyai batasan. Solat di masjid atau surau hanya boleh didirikan dalam jawatankuasa atau dalam bilangan yang kecil sahaja. Pelaksanaan solat juga perlu dengan penjarakan fizikal, penyampaian khutbah pada hari Jumaat perlu diringkaskan dan lain-lain lagi.

Walau bagaimanapun, kehadiran Ramadan kali ini bukan sahaja orang Muslim boleh menjalankan ibadah sebagaimana biasa, namun adalah lebih diharapkan lagi masjid dan surau lebih dihidupkan dan dimakmurkan sebagai suatu bukti kerinduan yang lama tersimpan.

Jika dahulu, jemaah melimpah ke luar masjid atau surau ketika malam pertama Ramadan untuk menunaikan solat terawih, namun bilangan tersebut semakin berkurangan menuju hari-hari terakhir. Trend ini boleh diperbaiki dengan menghidupkan sepenuhnya hari-hari dengan pesta ibadah seperti solat terawih, iktikaf mahupun qiamullail, lebih-lebih lagi di 10 akhir bulan Ramadan.

Jika dahulu, terdapat peningkatan kurang lebih 20% terhadap sisa makanan setiap kali tiba bulan Ramadan. Namun, pandemik COVID-19 mengajar kita untuk berbelanja dengan penuh berhemah. Budaya ini sangat baik untuk diteruskan bagi mengelakkan diri daripada berlebih-lebihan sehingga terbuang segala apa yang dibelanjakan.

Ekonomi negara serba sedikit terkesan akibat pandemik COVID-19. Proses keluar masuk aliran kewangan sangat digalakkan demi menyokong ekonomi negara. Namun, ini tidak bermakna kita boleh membazir dengan sesuka hati kerana ia bersalahan dengan prinsip agama. Oleh yang demikian, kita perlu membeli juadah berbuka sekadar secukupnya.

Tuntasnya, marilah kita memperbaharui niat untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam melaksanakan ibadah serta memperbaiki diri supaya Ramadan pada fasa endemik ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Hal ini kerana, sikap orang beriman sentiasa bermuhasabah daripada ujian seterusnya mengambil inisiatif untuk tampil sebagai insan yang lebih baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa dikehendaki oleh Allah SWT kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah.

Allah SWT menginginkan kebaikan yang banyak kepada hambanya melalui ujian, maka seharusnya kita menyahut perkara tersebut dengan mengaplikasikan kebiasaan baharu pada Ramadan yang akan datang. Semuanya bermula daripada diri kita untuk mendisiplinkan diri dan terus istiqamah dalam melakukan perkara yang telah dirancang.

Kebaikan demi kebaikan perlu diterapkan dalam diri dan keluarga secara beransur-ansur. Hasil daripada demikian itu akan melahirkan masyarakat yang bersifat Rabbani dan menggapai makna serta tujuan daripada berpuasa. Madrasah Ramadan pada fasa endemik ini akan menjadi batu asas bagi nilai normatif dan tahap ibadah umat Islam yang baharu di Malaysia.

Ramadan merupakan bulan perubahan diri bagi kehidupan seterusnya. Ini bertepatan dengan kata-kata “Barangsiapa yang dua harinya (hari ini dan semalam) sama, maka dia telah merugi. Barangsiapa yang harinya lebih buruk dari hari sebelumnya, maka dia tergolong daripada orang-orang yang benci”.

Muhammad Alif Norizan merupakan pelajar tahun ketiga, dan Dr. Mohd. Syukri Zainal Abidin adalah pensyarah kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di [email protected].

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas