Berita

Jalan Pantai Membedai-Tanjung Aru siap ikut jadual

- Diterbit 28 Jun 2019 1:06 AM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD
YUNUS DAN JEFFREY NIAN

LABUAN – Projek pembinaan jalan pesisir pantai dari Membedai ke Tanjung Aru di sini kini berada pada tahap satu peratus lebih awal berbanding jadual asalnya.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, walaupun Labuan sering berhadapan masalah logistik dan bahan, pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar.

“Projek ini akan melalui peringkat seterusnya dengan proses pengambilan balik tanah (PBT) memasuki peringkat sesi pendengaran dengan pemilik tanah,’’ katanya selepas menghadiri sesi taklimat perkembangan projek berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya dan pihak pemaju di sini baru-baru ini.

Rozman berkata, rakyat Labuan sangat berharap agar projek itu siap mengikut jadual kerana ia bakal memberikan impak cukup besar kepada perkembangan ekonomi di pulau ini.

“Projek ini bakal menggalakkan pelbagai aktiviti ekonomi, membuka jalanjalan baharu, mengurangkan kesesakan jalan raya dan membuka kawasan baharu.

“Jalan pesisir pantai membolehkan pembangunan pelancongan seperti terkandung dalam Labuan Development Blueprint 2030 kerana kawasan ini memang cantik dan berhadapan dengan tanah besar Sabah,” katanya.

Tambah Rozman, projek itu juga boleh menjadi sebahagian persiapan ntuk projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Menumbok, Sabah.

“Apabila jambatan dibuat sudah tentu Labuan menerima kemasukan pelawat serta kenderaan dari tanah seberang dan kita ingin lihat Labuan menjadi tempat perbandaran, perkhidmatan seperti lapangan terbang dan pelabuhan serta pusat pengagihan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan, Alfred Sim Seck Puan berkata, proses pengambilan tanah bagi meneruskan projek itu sudah bermula.

“Setakat ini kami tidak menerima sebarang isu berkaitan nilai pampasan tanah yang akan diambil,”jelasnya.

Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai – Tanjung Aru sepanjang 5.1 kilometer itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2020.

Semasa taklimat tersebut, pihak JKR Labuan turut memaklumkan projek naik taraf jalan dari Pohon Batu (Simpang Tamu) ke Pancur Hitam Fasa II yang bernilai RM33 juta kini 14 peratus lebih awal daripada jadual dan dijangka siap menjelang Ogos 2020.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas