Berita

Latif Romly pegang rekod dunia

Perak 18-9-2018
- Diterbit 28 Jun 2019 1:20 AM MYT

Ingin pertahan pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

ATLET olahraga paralimpik negara, Abdul Latif Romly yang popular dengan gelaran Latif terbang mahu terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Atlet muda ini berhasrat untuk terus mempertahankan pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 yang bakal berlangsung di Dubai pada November akan datang. Untuk merealisasikannya, Latif kini sedang giat berlatih di Atlanta, Amerika Syarikat.

Pun begitu dia tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana bimbang akan memberi tekanan hebat terhadap dirinya yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan hamstring.

“Saya menjalankan latihan seperti biasa sebanyak enam kali seminggu.

“Jika terlalu berfikir tentang kemenangan, kita akan terlupa untuk belajar memperbaiki kelemahan. Kadang-kadang kita perlu melalui kekalahan untuk memastikan diri tidak berada di tempat selesa,” ujarnya.

Berjaya dengan catatan terbaik, 7.49 meter pada Terbuka Thailand yang berlangsung baru-baru ini, atlet kelahiran Perlis itu fokus untuk memperbaiki teknik lompatannya.

Bercerita tentang selok belok penglibatannya, anak muda berusia 22 tahun itu berkata, bakatnya dalam acara lompat jauh disedari oleh salah seorang guru sekolah menengahnya ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi di Kangar, Perlis.

“Mulanya saya tidak berminat tetapi ia adalah antara aktiviti yang wajib,” ujarnya.

Sungguhpun dirinya mengalami kekurangan, namun dia tidak pernah meletakkan perkara itu sebagai halangan.

“Saya ingin menyeru mereka di luar sana supaya sedar bahawa kejayaan perlu dikejar. Mereka perlu membuktikan kekurangan diri tidak bermakna mereka perlu menghabiskan kehidupan dalam kegelapan,” ungkapnya.

Berkongsi kenangan manis sepanjang terlibat dalam acara lompat jauh T20 ini, dia tidak mampu melupakan saat memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Itu adalah batu loncatan saya. Sejak itu, perjalanan dalam sukan semakin bersinar dan menjadi tumpuan,” ujarnya yang bergelar atlet Malaysia sejak tahun 2014.

Enggan berjauhan dari keluarga

Berhadapan dengan kesukaran apabila berjauhan dari keluarga, anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik ini mengakui itu merupakan perkara yang dapat mengganggu kosentrasi dirinya untuk bertanding.

“Saya merupakan anak yang manja dengan keluarga. Kalau boleh, saya mahu mereka sentiasa berada di sisi sepanjang masa. Namun saya sedar perkara itu tidak mungkin berlaku jika saya berada jauh di luar negara.

Berkongsi tip untuk berjaya dalam sukan, atlet berusia 22 tahun ini menjelaskan tiada petua yang hebat selain menghormati kedua orang ibu bapa dan jurulatih di samping menjaga hubungan dengan Sang Pencipta.

Berhasrat ingin terus aktif dalam sukan selama lapan tahun lagi, pemegang atlet yang memegang rekod skor tertinggi 7.85 meter pada tahun 2018 ini menjadikan teknik lompatan atlet lompat jauh Rusia, Aleksandr Menkov sebagai rujukan untuk dirinya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas