Berita

Mohon lesen ISP daripada SKMM

- Diterbit 28 Jun 2019 1:04 AM MYT

PL sedia bangunkan prasarana khidmat internet berkelajuan tinggi

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) telah memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar ia diberikan lesen sebagai syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) dan penyedia perkhidmatan aplikasi (ASP) di kawasan pulai bebas cukai tersebut.

Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussien berkata, langkah tersebut bagi bagi mempercepatkan proses menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi di Labuan memandangkan perkhidmatan tersebut amat penting bagi kegunaan masyarakat tempatan dan syarikat-syarikat pesisir yang beroperasi di sini.

“Melalui cara itu, kami dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga keseluruhan Labuan selain menjana pendapatan tambahan
sebanyak RM6 juta kepada PL,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Amir berkata, sekiranya PL diberikan lesen kelak, pihaknya akan melantik satu syarikat untuk mengendalikan projek berkenaan dan mungkin boleh bekerjasama dengan pihak Telekom Malaysia (TM) atau mana-mana firma telekomunikasi yang berminat.

Amir berkata, pada masa ini tahap perkhidmatan internet di Labuan tidak memuaskan sedangkan lebih 6,000 syarikat pesisir membabitkan firma
kewangan, insuran serta perkapalan beroperasi di sini termasuk dari luar negara.

Tambahnya, tahap liputan dan penyambungan internet di Labuan ini pada masa ini berada pada tahap di bawah 30 peratus dengan hanya 10 kampung menerima liputan Unifi.

“Dengan projek tersebut, kami menjangkakan Kesemua 27 kampung dapat menerima liputan Unifi. Malah jumlah liputan internet akan meningkat pada kadar 30 peratus menjadikan keseluruhan kadar liputan dan penyambungan internet menjadikan 70 peratus,’’ katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, dalam pertemuannya dengan Pengarah SKMM Sabah, Roslan Mohamad baru-baru ini, pihaknya ada menyarankan agar pihak suruhanjaya itu menyediakan perkhidmatan WiFi percuma di beberapa lokasi tumpuan strategik di sekitar Labuan selain embincangkan usaha menaik taraf perkhidmatan tersebut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas