Berita

JAKIM terbit kit panduan hari raya semasa PKPB

- Diterbit 22 Mei 2020 6:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Kit Panduan Sambutan Aidilfitri di Rumah Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata, kit tersebut mengandungi amalan-amalan yang dituntut kepada umat Islam untuk dilakukan semasa sambutan Aidilfitri.

“Oleh kerana sambutan Aidilfitri pada tahun ini berlangsung dalam tempoh PKPB, maka kerajaan menyarankan umat Islam supaya menyambut Hari Raya Aidilfiri secara sederhana dengan mengutamakan amalan-amalan yang dituntut syariat Islam sahaja.

“Amalan sambutan perayaan yang berbentuk tradisi bolehlah ditangguhkan demi menjaga keselamatan dan kesihatan yang lebih utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Paimuzi berkata, kit panduan itu mengandungi panduan umum sambutan hari raya seperti amalan sunat dan wajib sempena hari raya, panduan takbir, solat dan khutbah hari raya.

Jelas beliau, kit tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi JAKIM www.islam.gov.my atau klik di pautan https://bit.ly/PanduanHariRayaPKPB

“Saya dan seluruh warga JAKIM turut mendoakan agar semua umat Islam dapat mengamalkan normal baharu dalam menyambut hari raya dan semoga negara kita kembali pulih daripada wabak Covid-19,” katanya.

Kit setebal 14 muka surat itu antara lainnya menyertaikan amalan yang perlu dilakukan pada hari pertama Aidilfitri seperti bertakbir, membayar zakat fitrah sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri.

Selain itu, umat Islam disunatkan mandi sunat Aidilfitri dan memakai pakaian terbaik, berhias serta memakai wangi-wangian.

Disunatkan juga menjamah sedikit makanan sebelum menunai solat sunat Aidilfitri dan mengucapkan tahniah ‘Taqabballahu Minna wa Minka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).

Kit itu juga menerangkan tentang kaifiat solat sunai Aidilfitri dan panduan khutbah hari raya yang boleh dilakukan di rumah.

Turut dimuatkan dalam kit panduan itu ialah tatacara ziarah iaitu;

* Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan dan amalan kesihatan iaitu pengunaan pelitup muka dan pensanitasi tangan.

*Sentiasa menjaga penjarakan sosial (1 meter).

*Dihadkan hanya pada hari raya pertama sahaja.

*Hanya ahli keluarga terdekat sahaja dan tidakmelebihi 20 orang sehari (mengikut saiz kediaman).

*Manfaatkan teknologi IT bagi menggantikan amalan ziarah menziarahi

*Bacaan Surah Yaasin dan tahlil boleh diadakan di rumah bersama ahli keluarga sahaja selepas solat sunat Aidilfitri bagi menggantikan amalan menziarahi kubur pada hari raya, kecuali bagi negeri-negeri yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas